Isu penggantungan MYEG: Anthony Loke adakan sidang media esok

4 Okt 2026, 9:39 AM
Isu penggantungan MYEG: Anthony Loke adakan sidang media esok

SHAH ALAM, 4 OKT: Menteri Pengangkutan Anthony Loke akan mengadakan sidang media esok berhubung penggantungan perkhidmatan My EG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd sebagai ejen kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurut laporan BH Online, sidang media itu dijadualkan pada jam 11 pagi di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya.

JPJ sebelum ini mengumumkan penggantungan kedua-dua syarikat berkuat kuasa esok susulan isu pematuhan terma dan syarat perjanjian serta tanggungjawab yang masih belum diselesaikan.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkara berkenaan.

Penggantungan itu turut menyusul pendedahan Zetrix AI mempunyai tunggakan hasil melebihi RM200 juta yang belum diserahkan kepada kerajaan.

Kementerian Pengangkutan mengesahkan perkara itu kepada The Edge, dengan tunggakan membabitkan kutipan pelanggan bagi pembaharuan cukai jalan, lesen memandu dan pembayaran saman trafik.

The Straits Times yang memetik dokumen rasmi melaporkan tunggakan itu dikesan sejak kontrak tiga tahun Zetrix AI bersama JPJ bermula pada Mei 2023.

Zetrix AI sebelum ini dikenali sebagai MYEG Services Bhd dan menyediakan perkhidmatan dalam talian kerajaan termasuk urusan JPJ sejak 2000.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.