Polis siasat dakwaan MyEG, Zetrix AI gagal pindah RM230.9 juta hasil kerajaan

13 Okt 2026, 11:22 AM
Polis siasat dakwaan MyEG, Zetrix AI gagal pindah RM230.9 juta hasil kerajaan

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan kegagalan memindahkan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM230.9 juta membabitkan syarikat penyedia perkhidmatan elektronik, My EG Sdn Bhd (MyEG) dan Zetrix AI Berhad.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata siasatan itu dimulakan susulan satu laporan polis yang diterima pada 7 Okt lepas berkaitan transaksi kewangan hasil kerajaan melibatkan kedua-dua syarikat di bawah Kumpulan MyEG tersebut.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, enam saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan dan beberapa individu lain akan dipanggil dalam masa terdekat. Dokumen-dokumen berkaitan telah diterima dan sedang diteliti sementara siasatan masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata PDRM komited memastikan setiap siasatan dijalankan secara bebas, telus dan profesional berlandaskan peruntukan undang-undang.

Beliau memberi amaran mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah akan berdepan tindakan tegas selain mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.