KUALA LUMPUR, 29 OKT: Kerajaan akan meneliti cadangan penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak Nasional dalam usaha memperkukuhkan perlindungan hak kanak-kanak di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata cadangan itu turut merangkumi aspek mandat, struktur, perundangan dan implikasi kewangan bagi memastikan ia tidak bertindih dengan institusi sedia ada.
Beliau berkata cadangan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail (PH-Ampang) itu dilihat mampu meningkatkan tadbir urus dan pengawasan terhadap hak kanak-kanak seiring dengan situasi semasa negara yang semakin terdedah kepada isu keselamatan dan kebajikan golongan muda.
“Buat masa ini, fungsi berkaitan hak kanak-kanak dilaksanakan oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), yang berperanan menasihati kerajaan, memantau pelaksanaan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) serta menyiasat aduan pelanggaran hak kanak-kanak.
“Justeru, kerajaan berpendapat penambahbaikan kepada peranan dan autonomi Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah SUHAKAM perlu terus diperkukuh sebagai langkah segera, sambil kajian lanjut mengenai model institusi terbaik bagi perlindungan hak kanak-kanak diteruskan berasaskan amalan terbaik antarabangsa dan kesesuaian dengan konteks negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
Populasi kanak-kanak bawah 18 tahun di Malaysia, dianggarkan sebanyak 9.13 juta atau 27.4 peratus daripada jumlah penduduk negara pada 2023.
“Perkara ini membuktikan cadangan penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak ini amat tepat pada masanya dan bergerak seiring dengan visi kerajaan supaya setiap negeri boleh ditempatkan seorang Pesuruhjaya Kanak-Kanak pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Azalina ketika menjawab pertanyaan berkaitan isu buli berkata kerajaan sedang merangka RUU Antibuli 2025 yang berasaskan prinsip hak asasi, bukti saintifik dan pendekatan mesra kanak-kanak.
“Pasukan Petugas Khas telah mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri pada 24 Okt lepas dan RUU Antibuli 2025 dijangka dibentangkan di Parlimen pada Dis 2025.
“Ia menandakan peralihan penting daripada pendekatan berasaskan hukuman kepada pendekatan pencegahan, perlindungan dan pendidikan demi kesejahteraan generasi muda negara,” katanya.
Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan oleh beliau turut dianggotai wakil kanan daripada Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta agensi penguatkuasaan lain bagi menilai kebolehlaksanaan dan merangka syor dasar untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Azalina berkata kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan kesejahteraan, keselamatan dan hak kanak-kanak di negara ini terus diberi keutamaan selaras agenda reformasi perundangan MADANI.




