KUALA LUMPUR, 6 OKT: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyingkatkan tempoh pemprosesan tuntutan pelbagai faedah pencarum daripada purata 5.3 hari pada 2024 kepada 2.7 hari bermula tahun lepas.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan itu dikendalikan dengan mematuhi Piagam Pelanggan bagi memastikan standard kualiti pada tahap optimum.
Beliau berkata tempoh maklum balas awal bagi pemprosesan aduan turut dipendekkan daripada tiga hari pada 2024 kepada hanya sehari pada 2025.
"Mulai 2025, tempoh masa bagi setiap permohonan faedah melibatkan Skim Lindung Pekerja, Skim Lindung Sendiri dan Skim Lindung Kasih telah disingkatkan daripada purata pemprosesan 5.3 hari pada tahun sebelumnya kepada 2.7 hari pada 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan V Ganabatirau (PH-Klang) yang bertanyakan tentang pembaharuan bagi meningkatkan kecekapan operasi PERKESO serta ketidaksepadanan kadar Pencen Ilat berbanding kos sara hidup semasa.
Beliau berkata dari Januari hingga 31 Disember 2025, prestasi Piagam Pelanggan PERKESO bagi keseluruhan proses tuntutan dan bayaran faedah secara purata untuk ketiga-tiga skim berkenaan adalah pada kadar 96.86 peratus.
Menjelaskan isu Pencen Ilat, Khairul Firdaus berkata kerajaan tidak menetapkan kadar pencen secara semberono, sebaliknya perkara itu tertakluk pada semakan berkala setiap tiga hingga lima tahun.
Beliau berkata penelitian itu mengambil kira peningkatan kos sara hidup, kadar inflasi serta kemampanan dana PERKESO itu sendiri.
“Indikator dan mekanisme bagi penentuan kenaikan kadar pencen minimum yang dilaksanakan oleh kementerian dan PERKESO berdasarkan kajian penilaian aktuari oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dengan mengambil kira keadaan sosial dan ekonomi semasa di negara kita.
“Kajian secara berkala ini dilaksanakan pada setiap tiga hingga lima tahun oleh PERKESO bersama-sama ILO," katanya sambil menambah hasil kajian tersebut diguna pakai sebagai penanda aras utama dalam memastikan kecukupan bayaran bulanan bagi membantu kelangsungan hidup penerima.







