SHAH ALAM, 6 OKT: Kerajaan mempertingkatkan kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi saringan bersasar berasaskan risiko, termasuk pemeriksaan bagasi 100 peratus dan pemeriksaan fizikal (pat-down) terhadap penumpang antarabangsa ke destinasi berisiko tinggi.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu antara 17 syor yang dilaksanakan bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan dan pengurusan risiko di KLIA serta pintu masuk antarabangsa negara, lapor Berita Harian.
Menurutnya, pelaksanaan langkah berkenaan dibuat dalam tiga fasa, dengan tumpuan ketika ini diberikan kepada tindakan jangka pendek bagi tempoh enam bulan pertama bermula Ogos.
Beliau berkata, pendekatan saringan bersasar itu dilaksanakan berdasarkan tahap risiko bagi memastikan kawalan keselamatan dapat dipertingkatkan tanpa menjejaskan kelancaran urusan penumpang di pintu masuk negara.
"Buat masa ini, kita sudah melaksanakan saringan bersasar berasaskan risiko secara serta-merta.
"Seketika ini, bagi penerbangan keluar dari KLIA, kita menjalankan pemeriksaan fizikal dari kepala ke kaki terhadap penumpang serta pemeriksaan bagasi 100 peratus," katanya.
"Ini membabitkan destinasi penerbangan yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi berdasarkan data dan kes, sama ada yang dilaporkan atau tidak dilaporkan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PAS–Kota Bharu) sebelum itu meminta status terkini pelaksanaan 17 syor untuk memperkukuh kawalan keselamatan, saringan dan pengurusan risiko di KLIA serta pintu masuk antarabangsa negara, susulan beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan terhadap integriti kawalan keselamatan negara.
Saifuddin berkata destinasi yang kerap berlaku insiden penyeludupan, termasuk Indonesia dan beberapa lokasi lain, diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi.
Beliau berkata, kerajaan juga memperketatkan kawalan akses di KLIA, termasuk menyemak semula tempoh sah kad akses yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan.
Katanya, kad itu yang kini sah selama lima tahun di bawah sistem tapisan elektronik, dicadang untuk dipendekkan kepada dua tahun sebelum perlu diperbaharui.
"Pas akses yang dikeluarkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga tertakluk kepada kawalan yang lebih ketat.
"Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada maklum balas kerajaan susulan insiden berkaitan dadah membabitkan seorang pembantu juruterbang Malaysia Airlines yang ditangkap di Jakarta," katanya.
Saifuddin berkata, Kabinet memandang insiden itu sebagai sesuatu yang lebih serius daripada pelanggaran keselamatan rutin kerana ia membabitkan ancaman kepada keselamatan, kedaulatan dan reputasi negara.
"Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan telah diamanahkan dengan perkara ini. Terdapat 17 syor yang telah kami bahagikan kepada tiga fasa," katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan menilai langkah semasa yang sedang dilaksanakan sebelum beralih ke fasa kedua.







