SHAH ALAM, 6 OKT: Kira-kira 400,000 murid menduduki Matriks Pembelajaran Tahun Empat (MPT4) bagi kohort pertama yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara bermula hari ini (6 Oktober) hingga 8 Oktober.
Menurut Lembaga Peperiksaan (LP) Kementerian Pendidikan (KPM), pentaksiran itu membabitkan empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, selain Bahasa Cina atau Bahasa Tamil bagi murid Sekolah Jenis Kebangsaan.
Setiap mata pelajaran diuji secara bertulis selama satu jam 15 minit, manakala murid berkeperluan khas pembelajaran dalam arus perdana diberikan tambahan masa antara 30 hingga 60 minit.
Instrumen pentaksiran dibangunkan LP berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran yang merangkumi kandungan pembelajaran Tahun Satu hingga Tahun Empat.
Soalan merangkumi item objektif dan subjektif dengan pelbagai aras kesukaran bagi mengukur pengetahuan, aplikasi, penyelesaian masalah, penaakulan serta Kemahiran Berfikir Aras Tinggi.
Pembinaan item turut mengambil kira amalan pentaksiran antarabangsa seperti Southeast Asia Primary Learning Metrics, Trends in International Mathematics and Science Study serta Programme for International Student Assessment.
Pengarah Peperiksaan LP KPM, Ab Aziz Mamat berkata pentaksiran itu dikendalikan secara berpusat bagi memastikan keyakinan awam terhadap pelaksanaannya.
LP turut menyelaraskan percetakan kertas soalan sebelum dihantar ke bilik kebal di seluruh negara bagi memastikan semua murid menerima set soalan yang sama, manakala peserta Dual Language Program menerima kertas dwibahasa bagi Sains dan Matematik.
Bagi pemarkahan, skrip jawapan diperiksa oleh guru mata pelajaran masing-masing berpandukan skema disediakan LP serta melalui proses moderasi dan verifikasi bagi memastikan standard pemeriksaan terpelihara.
Keputusan MPT4 menggunakan sistem gred dan skor yang sama seperti Ujian Akhir Sesi Akademik, namun tidak digunakan sebagai syarat kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains MARA atau sekolah khusus lain yang kekal menggunakan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus.
Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan memperkenalkan pendekatan baharu penilaian pembelajaran di sekolah rendah dan menengah melalui Matriks Pembelajaran Malaysia bermula dengan Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat pada 2026 dan Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga pada 2027.







