SHAH ALAM, 6 OKT: Bekalan makanan keperluan asas negara terutama beras dan ikan berada pada tahap stabil meskipun berdepan ketegangan geopolitik Asia Barat, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata stok fizikal beras negara berjumlah 1,193,478 tan metrik setakat 30 September lalu yang mampu menampung keperluan untuk tempoh enam bulan.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 200,000 tan metrik merupakan stok penimbal beras negara manakala 993,478 tan metrik lagi adalah stok dagangan.
Bagi bekalan ikan, Mohamad berkata simpanan stok di bawah seliaan persatuan nelayan direkodkan 247.98 tan metrik setakat 31 Ogos manakala stok pemain industri berjumlah 9,690 tan metrik.
“Secara keseluruhan, bekalan daripada stok simpanan ikan dianggarkan 10,000 tan metrik. Kadar permintaan harian ikan pula sekitar 41.66 tan metrik berdasarkan permintaan bulanan 1,250 tan metrik.
“Berdasarkan kadar permintaan berkenaan, stok simpanan ikan dianggarkan mampu menampung keperluan tempatan sehingga 240 hari,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Rakyat.
Mohamad berkata ketegangan di Asia Barat bagaimanapun memberi kesan terhadap kos input pertanian apabila harga baja fosfat (DAP) meningkat 28.15 peratus kepada USD793.5 setiap tan metrik setakat 31 Ogos berbanding USD626.50 setiap tan metrik pada Februari.
Menurutnya, kos penggunaan mesin pengeluaran turut meningkat susulan kos bahan api yang tidak terkawal terutama dalam sektor perikanan Zon C, manakala inflasi makanan domestik meningkat daripada 1.4 peratus pada Jun kepada 1.8 peratus pada Julai dan 1.9 peratus pada Ogos.
Bagi mengurangkan tekanan kos, kerajaan memberikan pengecualian sementara Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi baja pertanian seperti Rock Phosphate dan Magnesium Sulphate mulai 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027, selain menaikkan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar bagi musim penanaman 2026 yang memanfaatkan hampir 200,000 pesawah padi.
“Kadar bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu ditingkatkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan mulai April 2026. Inisiatif ini merupakan kali kedua bantuan tersebut dinaikkan susulan krisis ini,” katanya.
Beliau berkata kerajaan turut merangka Akta Keterjaminan Makanan Negara bagi menjamin kesinambungan bekalan, kestabilan harga, mengurangkan kebergantungan import serta memastikan akses kepada makanan sihat dan berkhasiat.








