KUALA LUMPUR, 6 OKT: Isu keberadaan warga Myanmar di Malaysia serta kes yang mengancam keselamatan pelajar di sekolah antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan portal Parlimen, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) meminta Perdana Menteri menyatakan langkah kerajaan seterusnya dalam menangani isu keberadaan warga Myanmar termasuk pelarian dan pemohon suaka yang berlarutan sejak sekian lama dan semakin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) pula meminta Perdana Menteri menjelaskan mengapa kes yang mengancam keselamatan pelajar masih berlaku di sekolah walaupun pelbagai garis panduan dan prosedur keselamatan telah ditetapkan kerajaan.
Pada sesi soal jawab, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status terkini pelaksanaan 17 syor penambahbaikan bagi memperkukuh kawalan keselamatan, saringan serta pengurusan risiko di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan pintu masuk antarabangsa negara.
Turut dijangka menarik perhatian ialah isu jerebu rentas sempadan, apabila Datuk Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan langkah yang telah diambil kementerian bagi menangani masalah itu, terutama di Sarawak.
Beliau juga ingin tahu tindakan diplomatik atau undang-undang yang diambil kementerian untuk mengatasi masalah jerebu yang berlanjutan.
Usai sesi soal jawab, persidangan dijadual diteruskan dengan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 oleh Menteri Kewangan dan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 oleh Menteri Belia dan Sukan.
Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Disember.








