KUALA LUMPUR, 5 OKT: Keadaan jerebu di Malaysia dijangka bertambah baik apabila negara memasuki tempoh peralihan monsun sebelum disusuli Monsun Timur Laut bermula November ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata perubahan corak monsun termasuk peningkatan hujan dan perubahan arah angin dijangka membantu mengurangkan keadaan jerebu.
“Kita harap apabila peralihan monsun bermula, episod jerebu akan berkurang, kemudian disusuli Monsun Timur Laut yang lazimnya membawa lebih banyak hujan.
“Kita juga berharap arah angin berubah kerana perkara itu turut memberi kesan kepada keadaan jerebu yang melanda negara,” katanya pada sesi soal jawab sempena sesi libat urus JAS bersama pengamal media di Hotel Pavilion, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesan peralihan monsun terhadap keadaan jerebu di Malaysia.
Tempoh peralihan monsun dijangka berlaku antara Oktober hingga November, manakala Monsun Timur Laut kebiasaannya bermula dari November hingga Mac.
Malaysia berdepan keadaan jerebu sejak Ogos susulan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.
Azuri berkata negara kini masih berada dalam fasa Monsun Barat Daya dan akan memasuki tempoh peralihan monsun tidak lama lagi, namun tarikh tepat akan diumumkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).
Dalam pada itu, Malaysia terus berhubung dengan Indonesia menerusi saluran diplomatik bagi membincangkan isu jerebu dan kebakaran hutan.
Menurut Azuri, Putrajaya turut menawarkan bantuan termasuk kemudahan dan aset bagi membantu Indonesia menangani kebakaran, namun masih belum menerima maklum balas rasmi secara bertulis daripada Jakarta.









