Hukuman penjara 'mat rempit' dijangka berkuat kuasa 1 November ini

5 Okt 2026, 8:12 AM
Hukuman penjara 'mat rempit' dijangka berkuat kuasa 1 November ini
Hukuman penjara 'mat rempit' dijangka berkuat kuasa 1 November ini
Hukuman penjara 'mat rempit' dijangka berkuat kuasa 1 November ini
Hukuman penjara 'mat rempit' dijangka berkuat kuasa 1 November ini

SHAH ALAM, 5 OKT: Hukuman lebih berat termasuk penjara terhadap kegiatan samseng jalanan atau ‘mat rempit’ dijangka mula berkuat kuasa pada 1 November susulan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata pindaan berkenaan sudah diluluskan Parlimen dan kini menunggu proses pewartaan akhir.

Beliau berkata pindaan itu membolehkan anggota penguat kuasa mengambil tindakan lebih tegas terhadap individu yang terbabit dalam perlumbaan haram serta aktiviti menunggang secara berbahaya.

“Pindaan terhadap Akta 333 sudah diluluskan Parlimen dan jika semuanya berjalan lancar, ia akan dikuatkuasakan mulai 1 November.

“Kita akan mengenakan hukuman yang jauh lebih berat, termasuk hukuman penjara, terhadap kesalahan ‘mat rempit’,” katanya.

Muhammad Kifli berkata pindaan di bawah Seksyen 42(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 juga akan memudahkan pegawai penyiasat mengambil tindakan terhadap kesalahan berkenaan.

Menurutnya, JPJ kini menunggu pandangan Jabatan Peguam Negara manakala proses yang masih berbaki adalah pewartaan pindaan berkenaan.

Beliau berkata kegiatan ‘mat rempit’ menjadi kebimbangan di peringkat nasional dan memerlukan tindakan penguatkuasaan berterusan oleh agensi berkaitan.

“Isu mat rempit di lapangan terbang Kota Bharu adalah masalah yang berulang dan JPJ akan bekerjasama dengan polis bagi memastikan tindakan penguatkuasaan diambil,” katanya merujuk masalah berulang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Pindaan terbaharu Akta 333 itu bertujuan memperkukuh penguatkuasaan terhadap perlumbaan haram, samseng jalanan dan kesalahan lain yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, selain memberikan peruntukan undang-undang lebih kukuh kepada agensi penguat kuasa.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.