18 motosikal disita dalam operasi banteras mat rempit di Klang

7 Apr 2026, 3:54 AM
18 motosikal disita dalam operasi banteras mat rempit di Klang

SHAH ALAM, 7 APR: Polis menyita 18 motosikal dalam operasi bersepadu membanteras aktiviti ‘mat rempit’ di sekitar Klang dari 30 Mac hingga 5 April lalu.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan memaklumkan kegiatan yang dikenal pasti termasuk menunggang secara laju dan melulu, selain melakukan aksi berbahaya yang mengganggu ketenteraman awam serta menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.

"Aktiviti ini kebiasaannya melibatkan golongan remaja berumur antara 12 hingga 30 tahun dan berlaku pada waktu awal pagi.

"Kami memandang serius terhadap kegiatan tersebut. Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan secara berterusan dan berfokus telah dilaksanakan bagi membendung serta mencegah aktiviti berkenaan daripada terus berleluasa," katanya dalam kenyataan.

Hasil risikan dan pemantauan polis mendapati beberapa lokasi di sekitar Klang menjadi tumpuan kumpulan terbabit untuk berkumpul, menghalang laluan lalu lintas dan menjalankan aktiviti lumba haram.

"Pemeriksaan mendapati kebanyakan motosikal yang digunakan telah diubah suai terutama pada bahagian enjin dan ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising melampau, sekali gus mengganggu ketenteraman awam," katanya.

Selain itu, majoriti individu terlibat terdiri daripada remaja termasuk bawah umur serta tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Polis turut mengeluarkan saman terhadap pesalah selain mengambil tindakan terhadap ibu bapa atau penjaga yang membenarkan atau bersubahat dengan anak jagaan menunggang tanpa lesen.

Dalam pada itu, pihak berkuasa menegaskan operasi dan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi mengekang kegiatan tersebut.

"Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.