SHAH ALAM, 13 JAN: Anggota polis berpangkat konstabel yang menampar seorang penunggang motosikal di sebuah stesen minyak dekat Taman Perling, Johor Bahru kelmarin, sedang dalam operasi membanteras mat rempit di kawasan sekitar.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata walaupun anggota terbabit sedang bercuti, namun dia dipanggil bertugas pada hari kejadian untuk membantu operasi, lapor Berita Harian.
Beliau berkata punca kejadian masih dalam siasatan, namun perbuatan menampar dipercayai tindakan spontan selepas mangsa didakwa cuba melarikan diri.
"Sebenarnya, satu operasi trafik sedang dijalankan iaitu Ops Motosikal oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.
"Ketika kejadian, anggota itu mahu menahan motosikal mangsa, tetapi mangsa cuba melarikan diri, mungkin ia tindakan sehingga berlaku kejadian itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Ab Rahaman berkata, laporan polis pertama dibuat pihak polis selepas tular video memaparkan kejadian tampar itu di media sosial, sebelum laporan polis diterima daripada mangsa sendiri pada malam hari kejadian.
"Kita akan melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan kemudian akan merujuk kepada Bahagian Perundangan Bukit Aman sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya," katanya.
Ab Rahaman berkata, empat individu sudah dipanggil memberi keterangan termasuk saksi dan anggota polis yang terbabit dengan insiden itu.
Katanya, beberapa saksi lagi akan dipanggil untuk merakam percakapan dan pada masa sama sedang mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) lokasi kejadian.
Ditanya sama ada anggota polis terbabit digantung tugas, Ab Rahaman berkata, lelaki itu masih bekerja, namun tidak dibenarkan melakukan tugas operasi.
"Dia tidak digantung tugas dan tidak ditahan reman. Setakat ini, anggota terbabit menjalankan tugas seperti biasa, kita tidak boleh menahan tugasnya kerana kita belum dapat arahan untuk mendakwanya di mahkamah.
"Kita ada proses dan peraturan untuk menahan tugas seseorang polis, biasanya apabila ada keterangan terbukti untuk pendakwaan di mahkamah.
"Bagaimanapun, anggota polis berusia 20-an yang mula bertugas dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2022 itu tidak menjalankan tugas operasi sehingga siasatan ini selesai," katanya.


