RUU Tadbir Urus AI dijangka dibentang awal 2027: Menteri

5 Okt 2026, 5:12 AM
RUU Tadbir Urus AI dijangka dibentang awal 2027: Menteri
RUU Tadbir Urus AI dijangka dibentang awal 2027: Menteri

SHAH ALAM, 5 OKT: Kerajaan sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada awal 2027.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata RUU berkenaan menggunakan pendekatan berasaskan risiko atau (risk-based approach), dengan tahap kawalan dinilai berdasarkan potensi kemudaratan sistem AI itu sendiri.

“Penggunaan AI dalam konteks ini menuntut kawal selia yang lebih ketat kerana ia memberi kesan langsung kepada keselamatan, hak asasi, dan kesejahteraan individu.

“Justeru, RUU ini direka sebagai kerangka merentas sektor yang melengkapi undang-undang sektoral sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Kubang Pasu Dato' Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung pembangunan AI di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Digital Gobind Singh Deo. Foto BERNAMA

Dalam pada itu, Gobind menambah, kerajaan melaksana Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 (Negara AI 2030), sekali gus menepati saranan global dan pandangan untuk memperlahankan pembangunan Frontier AI.

Menurutnya, pelan berkenaan memberi penekanan kepada pembangunan dan penggunaan AI secara bertanggungjawab, inklusif serta berimpak tinggi bagi meningkatkan produktiviti ekonomi.

Beliau berkata, Institut Keselamatan AI Malaysia (MY-AISafe) juga ditubuhkan bagi mengkaji mekanisme lebih jelas dan teratur untuk mengawal selia penggunaan model AI dalam operasi organisasi merentas sektor.

“MY-AISafe bertanggungjawab untuk melihat secara spesifik kepada aspek tadbir urus AI yang merangkumi aspek penandaarasan keselamatan, penilaian risiko, dan pelaporan insiden untuk tindakan pembetulan yang perlu dibuat bagi tujuan ini,” katanya.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Rumah Putih memeterai perjanjian bersama beberapa eksekutif terkemuka industri teknologi bagi memperkukuh aspek keselamatan dalam pembangunan dan penggunaan sistem AI termaju.

Perjanjian berkaitan kecerdasan super (super intelligence) dikenali sebagai 'Joint Commitment on Frontier Responsibilities' itu menggesa syarikat yang membangunkan dan menggunakan model AI termaju mewujudkan proses dalaman serta mekanisme kawalan yang kukuh.

Langkah berkenaan bertujuan memastikan sistem AI beroperasi seperti yang dimaksudkan, selain membolehkan sebarang risiko atau masalah dikenal pasti dan ditangani dengan segera.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.