SHAH ALAM, 5 OKT: Lokasi pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor, tidak diliputi kamera litar tertutup (CCTV), meskipun sekolah berkenaan mempunyai kemudahan itu.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata CCTV yang tersedia di sekolah berkenaan dipasang di beberapa lokasi lain, namun tidak meliputi tempat kejadian.
“Sekolah itu ada CCTV, cuma CCTV itu tidak dipasang di tempat kejadian jenayah itu berlaku,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti sama ada berlaku sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keselamatan di sekolah terbabit.
“Siasatan kita masih berlangsung. Jadi selepas ini kita akan maklumkan dari semasa ke semasa perkembangan siasatan tersebut,” katanya.
Beliau berkata pemeriksaan mengejut (spot check) terhadap barangan peribadi pelajar sememangnya dilaksanakan secara berkala di semua sekolah bagi memastikan mereka tidak membawa barangan berbahaya.
“Spot check ini berlaku secara berkala dan ia memang dilaksanakan di semua sekolah secara berkala.
“Saya ingat itu dalam siasatan PDRM (Polis Diraja Malaysia), kita serah pada PDRM,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata KPM pada masa sama sedang melaksanakan 11 langkah tambahan bagi meningkatkan tahap keselamatan di sekolah yang diumumkan pada Oktober tahun lalu.
Menurutnya, antara langkah berkenaan ialah pemasangan CCTV secara berperingkat di sekolah berasrama mengikut keutamaan dan keperluan.
“Bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), Fasa 1 membabitkan peruntukan RM3 juta untuk 200 sekolah berasrama dan siap sepenuhnya pada November 2025.
“Fasa kedua pula membabitkan peruntukan RM5 juta bagi pemasangan CCTV di 333 sekolah berasrama dan siap sepenuhnya pada September lalu,” katanya.
Bagi Fasa 3, Fadhlina berkata sebanyak RM15 juta diperuntukkan pada 2027 untuk pemasangan CCTV di 1,000 sekolah.
Katanya, pemasangan CCTV merupakan sebahagian daripada usaha KPM memperkukuh keselamatan warga sekolah, selain memastikan langkah keselamatan dilaksanakan secara berperingkat mengikut tahap keperluan setiap sekolah.
KPM turut memberi jaminan aspek keselamatan di sekolah akan terus diberi perhatian susulan kejadian berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan Irene Sofiya ditemukan di dalam dewan sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.
Polis kemudian menahan seorang pelajar lelaki yang dipercayai rakan sekolah mangsa bagi membantu siasatan.







