SHAH ALAM, 5 OKT: Malaysia dijangka mencapai status negara tua pada 2048 apabila individu berumur 65 tahun dan ke atas merangkumi 14 peratus daripada keseluruhan penduduk.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata negara ini mencapai status negara menua pada 2021, dengan tempoh peralihan kepada negara tua dijangka mengambil masa sekitar 27 tahun.
Menurutnya, tempoh itu lebih pantas berbanding Perancis yang mengambil masa 115 tahun, manakala Australia selama 73 tahun dan Amerika Syarikat, 69 tahun.
Justeru, katanya, kerajaan sedang membangunkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) 2045 sebagai kerangka persediaan jangka panjang merangkumi pembangunan ekonomi, perlindungan sosial dan keterjaminan kewangan, kesihatan serta penjagaan.
“Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan atau NAB 2045 sedang melalui proses pertimbangan kerajaan.
“Kertas Putih Persiapan Menuju Negara Tua bersama rangka tindakan tersebut dirancang
untuk dibentangkan di Dewan Rakyat setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
“Sasarannya akan dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini,” katanya menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berhubung status Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Akmal menambah, kerajaan mengiktiraf potensi 'silver economy' atau ekonomi perak sebagai sumber pertumbuhan baharu melalui produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan masyarakat menua.
Namun, jelasnya, ukuran sumbangan sektor berkenaan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) memerlukan takrif, skop dan kaedah statistik yang konsisten kerana aktiviti tersebut merentas pelbagai sektor.
“Sehubungan itu, pembangunan indikator khusus akan diteliti bersama agensi berkaitan, termasuk Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Penelitian ini penting sebelum angka asas dan sasaran ditetapkan, supaya sumbangan silver economy dapat diukur dengan tepat serta digunakan untuk menilai perkembangannya dari semasa ke semasa,” katanya.
Untuk rekod, ekonomi perak merujuk kepada aktiviti ekonomi dan peluang pasaran yang berkaitan dengan populasi warga tua yang semakin meningkat.
Sebelum ini, kerajaan komited untuk memperkasakan ekonomi perak dalam menghadapi cabaran populasi lanjut usia yang semakin meningkat.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilapor berkata, potensi warga tua sebagai salah satu pemacu ekonomi masih belum diterokai sepenuhnya di Malaysia.








