Bekalan makanan ruji negara stabil, stok beras cukup untuk enam bulan

13 Jul 2026, 11:30 AM
Bekalan makanan ruji negara stabil, stok beras cukup untuk enam bulan
Bekalan makanan ruji negara stabil, stok beras cukup untuk enam bulan
Bekalan makanan ruji negara stabil, stok beras cukup untuk enam bulan

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Bekalan makanan ruji negara ketika ini berada dalam keadaan stabil dan mencukupi dengan stok penimbal beras mampu menampung keperluan domestik bagi tempoh enam bulan.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan juga menetapkan harga Beras Putih Tempatan (BPT) dikekalkan tanpa kenaikan.

“Dalam keadaan global tidak menentu, keutamaan kita adalah memastikan bekalan asas tidak terputus dan rakyat tidak dibebani dengan kenaikan harga yang tidak munasabah,” katanya pada taklimat krisis bekalan global di sini, hari ini.

Beliau berkata perkara itu antara dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata kerajaan telah mengagihkan RM45.98 juta kepada 118,908 pesawah di Semenanjung Malaysia melalui Insentif Pembajakan Kepada Pesawah kerana memahami tekanan ditanggung mereka akibat perubahan cuaca dan peningkatan kos pengeluaran.

Berhubung risiko kenaikan harga baja, Akmal Nasrullah berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mempelbagaikan sumber input, memperkukuh bantuan kepada pesawah dan menambah baik kawal selia industri.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika berucap pada Program Dasar Peluang Kedua (DPK) - Pelepasan Fast Tack 2026 di Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim di Johor Bahru pada 23 April 2026. Foto BERNAMA

Beliau berkata Rang Undang-Undang Baja juga dijangka dibentangkan pada awal tahun depan bagi memperkukuh tadbir urus, kualiti dan ketelusan pasaran di samping meningkatkan daya tahan bekalan input pertanian.

“Selain itu, MTEN turut mengambil maklum risiko cuaca panas dan kedudukan paras air empangan. Pemantauan akan diperkukuh supaya tindakan mitigasi dapat digerakkan sebelum keadaan itu menjejaskan pengeluaran dan bekalan kepada pengguna,” katanya.

Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata berdasarkan perbincangan MTEN hari ini, kerajaan akan mengambil langkah berpandukan empat keutamaan, iaitu memastikan bekalan makanan, tenaga dan input industri terus terjamin melalui pemantauan lebih awal, inventori yang mencukupi dan sumber bekalan lebih pelbagai.

Keutamaan kedua ialah mengurangkan kos struktur dan beban pematuhan yang tidak perlu, tanpa menjejaskan hasil negara, keselamatan pengguna atau daya tahan industri domestik.

Beliau berkata keutamaan ketiga ialah memperluas akses pasaran, menarik pelaburan berkualiti dan membantu syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memasuki rantaian bekalan bernilai lebih tinggi.

Akmal Nasrullah berkata keutamaan keempat ialah mempercepat penggunaan teknologi, ekonomi kitaran dan pembangunan bakat supaya daya saing negara tidak bergantung kepada kos murah semata-mata.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.