Kes kematian pelajar: Jangan sembunyi apa-apa, tindakan tegas jika ada kecuaian

4 Okt 2026, 5:28 AM
Kes kematian pelajar: Jangan sembunyi apa-apa, tindakan tegas jika ada kecuaian

SHAH ALAM, 4 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil tindakan tegas jika terdapat kecuaian atau kegagalan melaksanakan tanggungjawab susulan kematian seorang pelajar di Yong Peng, Johor, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata semua perkara di bawah tanggungjawab kementerian akan diperiksa secara menyeluruh.

Menurut beliau, semakan itu merangkumi rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan, aspek kawalan keselamatan serta rondaan di sekolah.

“Saya mahu semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab KPM diperiksa dengan menyeluruh. Jangan sembunyikan apa-apa.

“Ini termasuk rekod kehadiran murid ketika kelas tambahan serta aspek kawalan keselamatan dan rondaan di sekolah. Syarikat kawalan keselamatan turut diminta memberikan kerjasama bagi semakan tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek bertemu keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat pada 4 Oktober 2026. Foto Facebook Fadhlina Sidek

Fadhlina berkata KPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tidak akan mendahului siasatan pihak polis.

Beliau berada di Yong Peng pagi tadi bagi mendapatkan sendiri perkembangan berhubung kejadian itu selain menerima taklimat daripada PDRM, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat dan pihak sekolah.

Fadhlina turut bertemu keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.

Mengulas lanjut status siasatan kes itu, beliau berkata mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.

"Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala motif serta punca kejadian masih dalam siasatan polis.

"Sokongan kaunseling turut diberikan kepada murid dan warga sekolah yang terkesan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta semua pihak memberikan ruang kepada keluarga mangsa serta menghormati proses siasatan yang sedang berjalan.

“Kita mahu kebenaran diperoleh berdasarkan fakta dan bukan spekulasi,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.