SHAH ALAM, 15 OKT: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dituduh membunuh rakan sekelasnya, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini.
Tertuduh yang merupakan pelajar Tingkatan Empat mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan membunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Irene Sofiya di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Seth, Yong Peng, antara jam 2.30 petang hingga 4 petang pada 3 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun jika tidak dijatuhi hukuman mati, serta sebatan minimum 12 kali.
Mahkamah menetapkan 22 Disember depan untuk sebutan semula kes selepas pihak pendakwaan memaklumkan masih belum menerima laporan bedah siasat dan forensik patologi daripada pihak hospital.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd Said dan Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Suhaila Shafi'uddin dan Mohd Azlan Shah Mohd Allias.
Tertuduh tiba di mahkamah pada jam 7 pagi dengan kawalan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.
Selesai prosiding, tertuduh dibawa keluar melalui pintu belakang mahkamah oleh polis.
Dalam kejadian 3 Oktober lalu, Irene Sofiya atau mesra dipanggil Fiya ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sekolah kira-kira jam 5.50 petang sebelum disahkan meninggal dunia.
Mangsa yang merupakan anak perempuan tunggal dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas kelas tambahan berakhir pada jam 5 petang.
Rakannya yang melihat motosikal mangsa masih berada di sekolah kemudian pergi ke rumah nenek Fiya sebelum pencarian dilakukan bersama ahli keluarga.
Pencarian itu berakhir apabila mangsa ditemukan terbaring di dalam dewan dengan kesan darah kering pada badan selain lebam dipercayai akibat dipukul.
Susulan kejadian, polis menahan pelajar lelaki yang juga rakan sekelas mangsa bagi membantu siasatan.





