PM beri bayangan peruntukan khas belia dalam Belanjawan 2027

3 Okt 2026, 12:00 PM
PM beri bayangan peruntukan khas belia dalam Belanjawan 2027
PM beri bayangan peruntukan khas belia dalam Belanjawan 2027
PM beri bayangan peruntukan khas belia dalam Belanjawan 2027

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa kerajaan akan mengumumkan peruntukan khusus untuk golongan belia, dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau mengambil kira keluhan dan permintaan golongan belia, termasuk berkaitan kos pendidikan serta keperluan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Ada anak-anak universiti kata, kita nak belajar tapi kita lapar, kita tumpukan, nanti saya umum masa belanjawan nanti.

“Anak-anak miskin tak mampu terpaksa berhutang, hal-hal ini kita kena dengar. Saya tegaskan negara ini bukan miskin, negara ini Alhamdulillah punyai kekayaan,” kata Anwar berucap merasmikan Forum Ekonomi Belia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim dan Presiden Persatuan Alumni Felo Perdana Fanitsyara Kam Phon.

Anwar berkata beliau semalam meluangkan masa berjam-jam mendengar pandangan golongan sarjana dan saintis mengenai langkah yang perlu diambil bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan.

“Siapa yang menentukan (masa depan negara)? Bukan generasi saya, (tetapi) generasi anak-anak ini.

“Meneroka alam dan disiplin baru ini adalah bidang anak-anak, (jadi) tanggungjawab saya beri ruang, angkat mutu pendidikan, penguasaan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris Bahasa Cina, Bahasa Arab Bahasa Perancis, Bahasa Jerman silakan, beri ruang kepada mereka,” kata beliau.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.