SHAH ALAM, 4 OKT: Pendidikan menjadi antara pendekatan utama Selangor dalam usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat, terutama keluarga berpendapatan rendah.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata akses kepada pendidikan berkualiti membolehkan pelajar membina keupayaan, memperoleh pekerjaan lebih baik dan memutuskan kitaran kemiskinan antara generasi.
Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) serta sokongan bagi melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.
“Selangor mahu memastikan kekangan kewangan tidak menghalang potensi anak-anak negeri ini. Peluang pendidikan ini perlu disusuli dengan penguasaan kemahiran dan akses kepada pekerjaan bergaji lebih tinggi.

"Pendekatan ini juga menjadi sebahagian daripada agenda Rancangan Selangor Kedua (RS-2), dengan menyediakan 100,000 pekerjaan bergaji lebih tinggi. Ini mencerminkan hasrat supaya pertumbuhan ekonomi membuka peluang kepada rakyat untuk memperbaiki kehidupan,” katanya menerusi Facebook.
Beliau turut menekankan keperluan membangunkan indeks upah wajar yang mengambil kira perbezaan kos sara hidup mengikut lokaliti.
Menurutnya, ukuran yang mencerminkan keadaan sebenar rakyat dapat membantu kerajaan merangka perlindungan sosial yang lebih berkesan.
Terdahulu, Amirudin menjadi panel di program Forum Ekonomi Belia 2026 anjuran Perdana Fellows Alumni Association (PFAA).
Forum itu menghimpunkan anak muda bersama pembuat dasar, pemimpin industri dan ahli akademik bagi membincangkan hala tuju ekonomi serta kesejahteraan rakyat.








