SHAH ALAM, 3 OKT: Peningkatan kesedaran kewangan dalam kalangan golongan muda tidak semestinya bermakna mereka benar-benar celik mengurus wang, kata pakar perancangan kewangan.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Universiti Putra Malaysia (UPM), Desmond Chong Kok Fei berkata, celik kewangan bukan sekadar mengetahui istilah berkaitan simpanan dan kadar faedah, sebaliknya turut merangkumi keupayaan membuat keputusan kewangan yang baik.
“Celik kewangan mesti merangkumi keupayaan menyediakan belanjawan, membezakan antara keperluan dan kehendak, memahami hutang serta faedah kompaun dan mengenal pasti penipuan kewangan,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, golongan muda hari ini lebih terdedah kepada kandungan kewangan menerusi TikTok, YouTube, Instagram dan platform media sosial lain, namun pengetahuan tersebut belum tentu diterapkan dalam pengurusan kewangan harian.
“Golongan muda hari ini mungkin lebih mengetahui istilah kewangan kerana mereka sentiasa terdedah kepada kandungan kewangan menerusi TikTok, YouTube, Instagram dan platform lain, tetapi mengetahui dan melakukannya ialah dua perkara berbeza,” katanya.
Berdasarkan Tinjauan Keupayaan dan Keterangkuman Kewangan Sisi Permintaan 2024 Bank Negara Malaysia (BNM), skor pengetahuan kewangan rakyat Malaysia meningkat daripada 60.2 pada 2021 kepada 62.9 pada 2024.
Bagaimanapun, pemahaman terhadap aspek lebih kompleks seperti perubahan kadar dan kesannya terhadap bayaran faedah atau keuntungan bulanan masih rendah, manakala skor keseluruhan tingkah laku kewangan menurun daripada 61.9 pada 2021 kepada 59.9 pada 2024.

Tinjauan itu turut mendapati 26 peratus rakyat Malaysia kerap mengalami kekurangan wang, berbanding 14 peratus pada 2021, dengan keadaan itu sebahagian besarnya dikaitkan dengan pendapatan tidak mencukupi atau tidak menentu serta peningkatan kos makanan dan keperluan harian.
Selain itu, 61 peratus rakyat Malaysia mengakui sukar menyediakan RM1,000 bagi menghadapi kecemasan, manakala 26 peratus merasakan mereka menanggung hutang terlalu banyak. Sebanyak 12 peratus pula berada pada tahap keberhutangan tinggi.
Bina simpanan sebelum berbelanja
Chong berkata, pengurusan kewangan yang lebih sihat perlu dimulakan dengan menyediakan belanjawan bagi memastikan setiap individu mengetahui jumlah pendapatan dan perbelanjaan bulanan.

“Anda perlu bermula dengan menyediakan belanjawan terlebih dahulu. Pantau belanjawan dengan teliti dan mempunyai perancangan yang jelas mengenai wang yang masuk dan keluar,” katanya.
Beliau berkata, belanjawan boleh disesuaikan mengikut pendapatan serta komitmen kewangan, termasuk mengagihkan pendapatan mengikut peratusan bagi perbelanjaan, kehendak peribadi dan simpanan menggunakan nisbah seperti 6:3:1 atau 5:3:2.
Golongan muda juga disaran mengasingkan wang untuk simpanan sebaik menerima pendapatan bagi membentuk tabiat menabung dan mengelakkan perbelanjaan berlebihan.
“Jika tidak, anda mungkin tidak mempunyai apa-apa untuk disimpan, khususnya dengan kos sara hidup yang tinggi ketika ini. Ada kalanya, kejadian tidak dijangka atau kecemasan turut memaksa anda berbelanja lebih,” katanya.
Chong turut menegaskan kepentingan membina dana kecemasan yang mampu menampung sekurang-kurangnya tiga bulan perbelanjaan tanpa sumber pendapatan aktif.
“Anda perlu memahami jumlah perbelanjaan bulanan. Jika perbelanjaan bulanan sekitar RM2,000, anda memerlukan sekurang-kurangnya RM6,000 dalam simpanan,” katanya.
Beliau turut menggesa golongan muda berbelanja mengikut kemampuan dan bukannya kehendak bagi mengelakkan kebergantungan kepada kredit.







