SHAH ALAM, 31 OKT: Syarikat media yang berdepan masalah kewangan diminta memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Komunikasi bagi membolehkan usaha membantu dapat dilakukan.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata beliau bersedia bertemu pengurusan tertinggi syarikat media terbabit bagi membincangkan masalah yang dihadapi dan mencari penyelesaian.
"Ini satu keadaan yang agak memilukan dan saya akan menjemput sidang redaksi serta pasukan syarikat terbabit, terutama pengurusan tertinggi, untuk duduk berbincang.
"Saya ingin tahu apa yang sebenarnya berlaku. Mana-mana syarikat media yang berdepan masalah ini, datang jumpa saya. Kita akan teliti penyelesaiannya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Saringan Kesihatan Wartawan Yayasan CVSKL di sini, lapor Harian Metro.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau mahu mengelakkan petugas media kehilangan sumber pendapatan, selain memastikan penerbitan media yang sudah lama bertapak dalam industri dapat terus beroperasi.
"Kalau boleh, tidak ada seorang pun kehilangan pekerjaan. Tetapi kalau masalah disiplin, that's a different matter (itu perkara berbeza). Kalau masalah kewangan, please approach me (sila berjumpa saya). Kita akan cuba bantu sedaya upaya," katanya.







