PELABUHAN KLANG, 2 OKT: Selepas bertahun-tahun tinggal di rumah uzur yang sering dimasuki air ketika hujan, kehidupan seorang warga emas di Kampung Baru Telok Gong kini lebih selesa selepas menerima kediaman baharu menerusi Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin Selangor.
Raujah Marsit, 74, tidak dapat menyembunyikan rasa terharu apabila rumah yang lebih selamat dan sempurna itu akhirnya menjadi tempat berlindung buat dirinya dan keluarga.
Ibu kepada tiga anak itu sebelum ini berteduh di rumah uzur yang sering dimasuki air setiap kali hujan, memaksanya hidup dalam kebimbangan apabila kebocoran berlaku di beberapa bahagian kediaman.
Ujian hidupnya bertambah apabila Raujah yang menghidap barah paru-paru dan masih menjalani pemantauan kesihatan terpaksa meneruskan kehidupan tanpa suami selepas kehilangan pasangan kira-kira empat tahun lalu.

Ketika ditemui sempena lawatan EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu hari ini, Raujah gagal menahan sebak apabila mengenang kesukaran yang dilalui sebelum menzahirkan rasa syukur atas bantuan kediaman baharu daripada Kerajaan Selangor.
“Saya sangat bersyukur dan terharu dapat rumah baharu ini. Dulu kalau hujan, air masuk dalam rumah sebab banyak tempat bocor.
“Sekarang saya rasa lebih selamat dan selesa untuk tinggal di sini,” katanya.
Rumah baharu berukuran 22 kaki lebar dan 30 kaki panjang itu mempunyai tiga bilik tidur serta dua bilik air, selain dilengkapi kemudahan asas termasuk bekalan air dan elektrik.
Bagi Raujah, kediaman itu bukan sekadar rumah baharu, malah memberi rasa lega selepas sekian lama berdepan kebimbangan setiap kali hujan turun.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Selangor dan semua pihak yang membantu merealisasikan impiannya memiliki kediaman lebih selesa.
Anak kongsi proses permohonan
Sementara itu, anak keduanya, Norazman Ahmad, 45, berkata keluarga pada awalnya bercadang memohon bantuan membaik pulih rumah lama yang sudah uzur.
Norazman yang bekerja sebagai siak di sebuah masjid berhampiran berkata, keadaan rumah itu kemudian diperiksa Penghulu Pulau Indah sebelum keluarga disarankan memohon bantuan pembinaan rumah baharu.

“Pada mulanya kami ingat hendak baik pulih rumah lama kerana sudah uzur. Kemudian penghulu datang membuat pemeriksaan dan memberitahu kami supaya memohon untuk bina rumah baharu.
“Rumah baharu dibina di sebelah rumah lama dan selepas siap, rumah lama itu dirobohkan,” katanya.
Menurutnya, proses permohonan mengambil masa kira-kira enam bulan dan kebanyakan urusan dikendalikan oleh kakaknya.
Katanya, proses berkenaan juga tidak terlalu rumit, manakala pembinaan rumah baharu dapat disiapkan dalam tempoh kira-kira satu setengah bulan.
“Rumah ini siap pada Oktober tahun lalu. Sekarang emak tinggal di sini dan kami tidak lagi risau kalau hujan atau panas.
“Dulu apabila hujan, air masuk dan rumah bocor. Sekarang kami rasa lebih selamat dan selesa,” katanya.
Norazman turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Selangor serta semua pihak yang membantu keluarganya memperoleh kediaman lebih baik.
Bagi keluarga Raujah, rumah itu kini menjadi tempat berteduh yang lebih selamat dan selesa, sekali gus memberi ketenangan kepada seorang ibu yang melalui ujian kesihatan dan kehilangan pasangan.






