SHAH ALAM, 2 OKT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memandang serius penyebaran kandungan media sosial yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi rakaman Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berduka atas pemergian isterinya, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
SKMM berkata penggunaan teknologi untuk memanipulasi rakaman sebenar sehingga mengelirukan orang ramai, memesongkan konteks sesuatu peristiwa atau menjejaskan maruah individu dan keluarga adalah perkara yang tidak wajar dipandang ringan.
“SKMM telah berhubung dengan platform media sosial berkaitan dan kini sedang meneliti kandungan yang didakwa telah dimanipulasi menggunakan AI tersebut.
“Sekiranya hasil penelitian mendapati adanya pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” katanya dalam kenyataan hari ini.
SKMM turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menghasilkan, memuat naik atau menyebarkan kandungan yang dimanipulasi sehingga boleh mengelirukan orang ramai atau menjejaskan pihak lain.
Orang ramai juga digalakkan menyemak kesahihan sesuatu kandungan sebelum berkongsi serta melaporkan kandungan yang disyaki telah dimanipulasi kepada platform atau pihak berkuasa berkaitan.
Dalam pada itu, SKMM berkata kemajuan AI sememangnya membuka pelbagai manfaat kepada masyarakat, namun penggunaannya perlu disertai tanggungjawab agar teknologi berkenaan tidak disalahgunakan sehingga atau menjejaskan pihak lain.
Sebelum ini, tular satu vido hitam putih satu video hitam putih berdurasi 27 saat dimuat naik di TikTok oleh pengguna @vinustudio.my, sehingga meraih lebih 745,000 tontonan, 30,200 tanda suka dan ribuan perkongsian.
Klip berkenaan memaparkan bekas perdana menteri itu menyapu air mata selain babak ciptaan AI menunjukkan beliau memeluk Hasmah dengan latar belakang muzik emosi.
Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara pada 28 September lalu dengan berita pemergiannya disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada 6.20 petang hari sama di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya dengan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.







