Lapan sekolah baharu bakal dibina di Selangor, penuhi keperluan pelajar

3 Okt 2026, 1:00 AM
Lapan sekolah baharu bakal dibina di Selangor, penuhi keperluan pelajar
Lapan sekolah baharu bakal dibina di Selangor, penuhi keperluan pelajar
Lapan sekolah baharu bakal dibina di Selangor, penuhi keperluan pelajar

SHAH ALAM, 3 OKT: Sebanyak lapan sekolah baharu sedang dibina bawah penyeliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Selangor setakat Julai 2026 bagi memenuhi keperluan pelajar melibatkan kawasan berkepadatan penduduk tinggi sesuai dengan perkembangan rancak projek pembangunan kediaman setempat.

Pengarah JKR Selangor Ir Shukri Ishak memaklumkan projek pembangunan melibatkan kawasan Seksyen 5 Bandar Kinrara, Denai Alam, Setia Alam, Bukit Raja, Cyberjaya, Bukit Mahkota, Johan Setia dan Taman Sri Manja.

Beliau menjelaskan perancangan pembinaan sekolah baharu berdasarkan keperluan semasa dan unjuran pertambahan pendaftaran bilangan pelajar di sesebuah institusi pendidikan yang ditentukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“JKR berperanan melaksanakan pembangunan sekolah yang telah diluluskan kerajaan bagi memastikan kemudahan pendidikan yang mencukupi, selamat dan berkualiti dapat disediakan kepada masyarakat.

“Berdasarkan rekod sehingga Julai 2026, sebanyak lapan buah sekolah baharu sedang berada di peringkat pembinaan di bawah penyeliaan JKR Selangor,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Media Selangor.

Pekerja melakukan kerja pembaikan di Sekolah Kebangsaan Sijangkang Jaya, Kuala Langat pada 23 Oktober 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Ir Shukri memaklumkan beberapa projek pembinaan sekolah baharu yang dikenal pasti KPM turut diserahkan kepada JKR untuk pelaksanaan dan kini berada di peringkat perancangan, reka bentuk serta perolehan yang diuruskan oleh ibu pejabat JKR Malaysia.

Antara lokasi yang terlibat adalah Puchong Intan, Bukit Rahman Putra (Sungai Buloh), Bukit Sentosa, Bandar Seri Putra, Bandar Botanik, Bandar Tasik Puteri, Bandar Rimbayu, Cyberjaya, Bandar Mahkota Cheras dan Eco Grandeur.

Sejak 2022 sehingga Julai tahun ini, JKR menyiapkan satu projek pembinaan sekolah baharu iaitu SMK Kota Warisan, Sepang. Projek bina baharu tersebut merujuk kepada pembangunan sekolah yang dilaksanakan bermula dari tapak kosong.

Sepanjang tempoh berkenaan juga, 117 buah sekolah bawah skop pembinaan bangunan gantian, penambahan bilik darjah kekal, serta pembinaan bilik darjah sementara turut disiapkan melalui Program Menangani Isu Sekolah Berkepadatan Tinggi.

Menurut Ir Shukri, daerah Hulu Langat menerima manfaat terbesar Program Menangani Isu Sekolah Berkepadatan Tinggi dengan 29 sekolah diikuti 23 sekolah bawah daerah Petaling dan masing-masing 14 sekolah di Kuala Langat serta Klang.

Pastikan bangunan selamat

Selain berperanan membina sekolah baharu dan melaksanakan program pembangunan dirancang kerajaan, JKR turut bertanggungjawab membaiki sekolah yang rosak sama ada disebabkan faktor ketahanan bangunan melibatkan struktur lama atau bencana.

Struktur bangunan sekolah yang selamat menjadi keutamaan JKR bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar di samping mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku sepanjang warga pentadbir dan pelajar berada di kawasan sekitarnya.

Ir Shukri berkata proses pemulihan bangunan sekolah biasanya bergantung kepada ketersediaan peruntukan daripada KPM dan tiada tempoh menunggu piawai ditetapkan bagi kerja mula atau siap melibatkan kerja-kerja baik pulih.

Beliau menjelaskan penentuan keutamaan baik pulih sekolah berdasarkan faktor keselamatan, fungsi bangunan, keselesaan yang bertujuan mewujudkan suasana kondusif bagi pelajar-pelajar di sekolah.

“JKR akan melaksanakan penilaian teknikal melalui pemeriksaan dan kajian di tapak (sekolah yang berkenaan), seterusnya menganalisa dan menyediakan anggaran kos awalan sebagai persediaan bagi pihak KPM menyediakan peruntukan yang diperlukan.

“Seterusnya JKR akan melaksana dan memantau kerja-kerja baik pulih berdasarkan senarai sekolah yang telah menerima peruntukan daripada pihak KPM agar selari dengan spesifikasi dan kualiti, tempoh masa serta peruntukan yang telah ditetapkan,” katanya lagi.

Antara kerja-kerja baik pulih yang lazim dilaksanakan JKR melibatkan kerja bangunan seperti pembaikan bumbung bocor, siling rosak, kerosakan struktur, mengecat semula bangunan, penggantian alatan seperti pintu dan tingkap serta pembaikan lantai dan dinding

Tidak ketinggalan pembaikan sistem mekanikal dan elektrikal seperti pendawaian elektrik, alatan (ampu dan kipas), sistem pendingin hawa, bekalan air dan sanitari serta sistem pencegahan kebakaran.

Fakta pembinaan dan baik pulih sekolah di Selangor. GRAFIK AZWA MALEK

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.