PM kongsi persiapan F1 Bahrain bersama Putera Mahkota

1 Okt 2026, 2:35 PM
PM kongsi persiapan F1 Bahrain bersama Putera Mahkota
PM kongsi persiapan F1 Bahrain bersama Putera Mahkota
PM kongsi persiapan F1 Bahrain bersama Putera Mahkota

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkongsi perkembangan persiapan penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa.

Perkembangan itu disampaikan Anwar menerusi panggilan telefon di sela-sela tinjauan beliau di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) petang tadi.

“Saya turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama erat Malaysia dan Bahrain dalam menjayakan penganjuran ini, dengan segala persiapan kini giat dilaksanakan bagi menyambut kehadiran peminat dan pengunjung dari seluruh dunia.

“Saya menantikan pertemuan dengan Putera Mahkota di Malaysia dalam beberapa hari lagi, insya-Allah, seraya terus memperkukuh persahabatan antara kedua-dua negara,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Perdana Menteri menyertai Pit Lane Walk bersempena dengan perlumbaan F1 GP Gulf Air Bahrain 2026 yang akan berlangsung di SIC bermula esok hingga Ahad.

Turut serta ialah Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif serta Ketua Eksekutif Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) Sheikh Salman Isa Al Khalifa.

SIC dipilih menjadi tuan rumah F1 GP Gulf Air Bahrain 2026, sekali gus menjadikan litar ikonik itu sebagai lokasi sementara bagi perlumbaan berprestij Bahrain itu.

Pada Julai lepas, Formula 1 mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah perlumbaan itu dari 2 hingga 4 Oktober susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Persetujuan itu membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan yang dijadualkan berlangsung lebih awal musim ini dibatalkan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Malaysia pernah menganjurkan GP Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.