SHAH ALAM, 19 FEB: Seramai 12 anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun melibatkan kerugian mata wang kripto milik seorang warga asing yang dilaporkan berlaku di daerah Kajang awal bulan ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6 Februari lalu pada jam 2.06 petang.
“Susulan laporan itu, tindakan segera diambil sehingga membawa kepada penahanan 12 anggota polis bagi membantu siasatan.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shazeli menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam aktiviti jenayah.
Beliau turut meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
- BERNAMA


