Tiga anggota polis ditahan disyaki terbabit dua kes samun warga asing

14 Jul 2026, 1:00 PM
Tiga anggota polis ditahan disyaki terbabit dua kes samun warga asing

SHAH ALAM, 14 JULAI: Tiga anggota polis ditahan kerana disyaki terbabit dalam dua kes samun membabitkan warga asing di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu, Kedah.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian 1 Julai lalu, suspek dipercayai ke sebuah rumah di Lorong Aman, Jalan Langgar dengan menunggang motosikal jenis skuter, sambil memperkenalkan diri sebagai polis.

Beliau berkata suspek menunjukkan pakaian seragam yang dipakai di dalam jaket sebelum meminta mangsa menyerahkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik mangsa, isteri dan tiga anaknya.

Menurutnya, suspek turut mengambil telefon bimbit mangsa kerana tidak mahu dirakam sebelum didakwa membuka sepasang subang emas daripada telinga isteri mangsa dan memasukkannya ke dalam poket seluar.

"Mangsa menyerahkan kad UNHCR mereka kepada suspek tetapi lelaki itu mengambil telefon bimbit mangsa kerana tidak mahu dirakam.

"Suspek juga didakwa membuka sepasang subang emas daripada telinga isteri pengadu dan memasukkan ke dalam poket seluarnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata mangsa kemudian membuat laporan polis sehingga membawa kepada penahanan suspek berusia 26 tahun pada 2 Julai.

Semakan mendapati suspek bertugas di IPK Kedah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Polis turut merampas kad kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua telefon bimbit, sepasang subang emas, motosikal serta beberapa barangan lain bagi membantu siasatan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Dalam satu lagi kejadian pada 27 Jun lalu, Adzli berkata dua anggota polis turut ditahan selepas disyaki merampas wang tunai RM1,750 di penempatan etnik Rohingya di Padang Sera, Kubang Pasu.

Beliau berkata kedua-dua suspek bersama tiga lagi individu memakai jaket polis memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum melakukan pemeriksaan di sebuah rumah yang didiami lima mangsa.

"Mereka melarikan diri selepas merampas sejumlah wang dan semua suspek berjaya ditahan anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan itu sebelum diserah kepada polis," katanya.

Menurutnya, dua suspek disahkan anggota polis yang bertugas di Perlis. Polis turut merampas dua kad kuasa polis, empat vest polis, tiga unit gari, lampu suluh, telefon bimbit dan wang tunai RM600, manakala seorang daripada lima suspek mempunyai dua rekod jenayah serta dadah.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.