Azeem terguris dakwaan sengaja cedera ketika final 100m Sukan Asia

1 Okt 2026, 9:47 AM
Azeem terguris dakwaan sengaja cedera ketika final 100m Sukan Asia

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Pelari pecut negara, Azeem Fahmi menafikan dakwaan kononnya dia sengaja mengalami kecederaan ketika final 100 meter (m) Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sebaliknya menegaskan kecederaan dialaminya adalah benar.

Azeem berkata, kecederaan pada bahagian pangkal paha itu turut menyebabkan kredibiliti dan kelayakannya untuk menyarung jersi kebangsaan dipersoalkan selepas dia terpaksa menghentikan larian pada awal final, lapor Berita Harian.

Menurutnya, dakwaan berkenaan amat mengguris perasaannya kerana dia sudah memberikan segala-galanya untuk beraksi di pentas terbesar Asia, malah sanggup mengambil risiko dengan menyertai acara berganti-ganti selepas mengalami kecederaan itu.

"Saya sangat marah ketika pertama kali membaca laporan yang mempersoalkan kecederaan saya. Kemudian saya berhenti seketika dan bertanya kepada diri sendiri mengapa naratif seperti itu wujud.

"Ia memang menyentuh perasaan saya, tetapi saya memilih untuk menjawab dengan penuh maruah serta mengingatkan diri sendiri mengapa saya berada di sini dan segala yang telah saya lakukan untuk sampai ke tahap ini," katanya menerusi luahan di Story Instagram miliknya.

Pelari kelahiran Perak itu berkata, kesakitan di pangkal paha sudah dirasainya sebelum final 100m sehingga dia menggunakan pita sokongan sejak pusingan pertama.

Bagaimanapun, katanya, kesakitan itu menjadi lebih teruk selepas melakukan pemanasan sebelum permulaan blok sehingga memaksanya menghentikan larian pada awal perlumbaan.

"Selepas pemeriksaan menyeluruh oleh doktor dan ahli fisioterapi Institut Sukan Negara (ISN), kami mendapati terdapat koyakan separa pada otot aduktor (pangkal paha) saya.

"Saya dinasihatkan supaya menarik diri daripada semua acara yang berbaki bagi mengelakkan kecederaan menjadi lebih serius," katanya.

Namun, Azeem, 22, tetap memilih untuk beraksi dalam acara 4x100m campuran selepas kuartet lelaki tidak layak mara lebih jauh, walaupun menyedari tindakan itu berisiko memburukkan kecederaannya.

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana dia menganggap tugas sebagai pelari pertama adalah tanggungjawabnya untuk memimpin pasukan, bukannya untuk meraih perhatian atau mengelak daripada menyertai acara lelaki.

"Saya tidak berlari untuk menjadi wira. Saya berlari kerana menjadi pelari pertama adalah tanggungjawab saya untuk memimpin pasukan dan menunjukkan semangat yang saya bawa apabila mewakili negara.

"Pasukan perubatan kami bekerja tanpa henti memberikan rawatan dan sokongan supaya saya mampu menahan kesakitan.

"Saya tahu saya cedera, tetapi saya masih mahu bertanding kerana saya tahu betapa banyak usaha yang telah kami curahkan untuk acara berganti-ganti ini," katanya.

Azeem berkata, dia hadir ke temasya itu sebagai antara lima pelari pecut terbaik Asia musim ini selepas mencatat masa 10.09 saat (s) dan berada dalam keadaan baik sebelum kecederaan berkenaan.

"Saya tahu nilai diri saya, saya tahu tugas saya dan saya tahu kemampuan saya," katanya.

Dalam pada itu, pemegang rekod 100m kebangsaan itu berkata, dia kecewa melihat atlet dilayan sedemikian selepas keputusan tidak memihak kepada mereka, terutama apabila maklumat tidak tepat tersebar sehingga menimbulkan kebencian.

Katanya, prestasi atlet boleh dipersoalkan atas dasar ketelusan dan akauntabiliti, namun komitmen mereka terhadap negara tidak seharusnya dipertikaikan.

Azeem berkata, dia memilih untuk menjawab segala persoalan terhadap dirinya melalui prestasi di trek, terutama pada kejohanan tahun hadapan.

"Saya akan terus menjawab dengan prestasi saya, bukan dengan bunyi-bising. Kepada mereka yang terus menyokong dan mempercayai saya, saya tidak mampu mengucapkan terima kasih secukupnya. Saya akan kembali dengan lebih kuat," katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.