
SERDANG, 16 OGOS: Tiga pelari pecut Kontinjen Selangor menempah tiket ke final acara 100 meter lelaki dan wanita pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas menampilkan aksi bertenaga dalam saingan separuh akhir di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini.
Dua wakil wanita, Nur Qaseh Kiasatina Nurul Hisyam dan Lim Mei Yin, masing-masing mengesahkan tempat ke final, manakala Danish Irfan Thamrin turut memastikan Selangor mempunyai wakil dalam perebutan pingat acara 100 meter lelaki.
Mei Yin mencuri tumpuan apabila bukan sahaja mara ke final, malah memperbaharui rekod peribadinya dengan catatan 12.12 saat berbanding 12.20 saat sebelum ini.
“Saya gembira kerana dapat pecahkan rekod peribadi dan saya tidak sabar untuk beraksi pada final untuk berikan pingat buat negeri Selangor,” katanya kepada Media Selangor.
Qaseh Kiasatina turut menampilkan larian meyakinkan dengan catatan 12.46 saat untuk mengesahkan tempat ke final dan berharap mampu memperbaiki catatan berkenaan dalam perlumbaan penentuan pingat.
“Masa saya, 12.46 saat sangat baik dan saya yakin mampu melakukan larian lebih baik pada aksi final walaupun sedar saingan hebat bakal diberikan pelari-pelari lain,” katanya.
Sementara itu, Danish Irfan mencatat masa 10.72 saat dalam separuh akhir untuk melangkah ke final 100 meter lelaki dan menyasarkan larian lebih pantas dalam perebutan pingat.
“Saya yakin saya akan berikan larian terbaik saya dan semestinya mahu sumbangkan pingat buat Selangor,” katanya.
Aksi final 100 meter lelaki dan wanita dijadualkan berlangsung petang ini, dengan ketiga-tiga pelari Selangor bakal turun membawa misi untuk menamatkan saingan di podium dan menyumbang pingat kepada kontinjen negeri.







