SHAH ALAM, 1 OKT: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, bersedia menerima apa jua keputusan atau tindakan kerajaan susulan insiden video tular di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin lalu.
Mohd Shuhaily berkata, beliau bersedia bertanggungjawab atas apa yang berlaku dan menyerahkan sepenuhnya siasatan lanjut kepada pihak berkuasa bagi memastikan perkara itu diselesaikan secara adil, lapor Sinar Harian.
“Saya telah memaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan dan juga kementerian mengenai perkara ini. Justeru, apa jua keputusan mereka, saya terima.
“Bagi saya, untuk mengubah sesuatu ia mempunyai harga. Sekiranya harga itu adalah diri saya, maka saya bayar dengan diri saya,” katanya pada sidang media, di Putrajaya hari ini.
Terdahulu, media melaporkan video tular yang memaparkan individu mirip Mohd Shuhaily memarahi seorang individu lain, selain memegang kepala lelaki terbabit dengan agak keras.
Turut tular salinan dakwaan seorang individu yang mendakwa dirinya dikasari Mohd Shuhaily.
Mohd Shuhaily berkata, beliau tidak menganggap dirinya sempurna dan bersedia berdepan segala implikasi susulan insiden itu.
“Saya berdiri di hadapan anda semua untuk menghadapi dan bertanggungjawab terhadap apa yang telah berlaku,” katanya.
Beliau berharap apa jua keputusan kerajaan terhadap dirinya tidak menjejaskan pasukan AKPS yang disifatkannya sebagai tulang belakang kepada usaha memperkukuh keselamatan pintu masuk negara.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily menjelaskan kejadian berlaku ketika beliau bersama pegawai menjalankan penguatkuasaan terhad di aras lima KLIA selepas meninjau persediaan AKPS bagi menghadapi kemasukan pengunjung sempena perlumbaan Formula 1 hujung minggu ini.
Katanya, penguatkuasaan itu turut dijalankan susulan aduan mengenai kegiatan sindiket ulat warga asing serta peningkatan penemuan dadah dan barangan kontraban di lokasi pemeriksaan bagasi.
“Ketika penguatkuasaan itu dijalankan, seorang warga asing yang dipercayai terlibat dalam sindiket ulat ditahan sebelum dibawa ke bilik pemeriksaan bagasi,” katanya.
Menurutnya, ketika sesi temu bual terhadap warga asing itu sedang dijalankan, dua individu tidak dikenali muncul dan merakam kejadian berkenaan.
“Apabila didekati pegawai saya dan dibawa ke hadapan untuk melihat apa yang dirakam, arahan diberikan supaya mereka memadam rakaman tersebut.
“Saya memberikan amaran yang paling tegas bahawa penguatkuasaan pada ketika itu hanya membabitkan pegawai AKPS bersama Aviation Security (AVSEC) KLIA sahaja,” katanya.







