Keunikan Rawang mampu gamit pelancong, pelihara identiti bersejarah

1 Okt 2026, 3:00 AM
Keunikan Rawang mampu gamit pelancong, pelihara identiti bersejarah
Keunikan Rawang mampu gamit pelancong, pelihara identiti bersejarah
Keunikan Rawang mampu gamit pelancong, pelihara identiti bersejarah

GOMBAK, 1 OKT: Pekan Lama Rawang berupaya menjadi kawasan warisan ekoran usianya melebihi 100 tahun sekali gus nilai sejarahnya boleh diketengah sebagai tarikan pelancongan.

Wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat berkata ia perlu mengambil kira usaha memelihara identiti sejarahnya selain meningkatkan fungsi kawasan itu agar kembali menjadi tumpuan masyarakat.

Katanya, pekan itu pernah menjadi lokasi persinggahan utama bagi perjalanan dari ibu negara ke Ipoh selain kegiatan ekonomi dan kemudahan masyarakat sebelum perkembangan pusat bandar baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADN), Chua Wei Kiat beramah mesra bersama penduduk setempat di Pekan Lama Rawang, Selayang pada 14 September 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Orang Kuala Lumpur hendak pergi Ipoh kena melalui jalan ini. Jalan Maxwell dengan Jalan Welman seumpama (kawasan) R&R (rehat dan rawat). Orang akan rehat di sini, cari makan di sini. Inilah pekan yang mereka singgah, lepas itu baru pergi ke Ipoh,” katanya.

Katanya, nilai sejarah terserlah ekoran ada tiga tokong Cina berusia lebih 100 tahun, kaitan dengan sejarah perlombongan bijih timah dan perkembangan awal kemudahan elektrik.

Beliau berkata kelebihan itu boleh disusun sebagai rangkaian produk pelancongan terancang selain juadah tradisio nal, bangunan lama, lorong belakang dan pelbagai acara kebudayaan.

Menurutnya, pengalaman membangunkan pekan itu sebagai kawasan warisan boleh dijadikan rujukan kerana ia ada keunikan tersendiri melalui gabungan pembangunan baharu dan lokasi bersejarah.

“Pengiktirafan sebagai pekan warisan bukan sahaja memelihara sejarah dan identiti kawasan, malah berpotensi merancakkan pelancongan serta membantu menghidupkan semula ekonomi setempat.

“Elemen seperti mural, lorong seni, aktiviti artisan, flea market dan laluan pejalan kaki boleh diwujudkan bagi mengaktifkan semula kawasan itu, khususnya menarik anak muda,” katanya.

Menurut Wei Kiat, ia penting supaya pekan itu bukan sekadar berwajah baharu tetapi dipulihkan sebagai kawasan bersejarah yang memiliki identiti, fungsi ekonomi dan nilai pelancongan.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyokong cadangan mengangkat pekan lama Rawang sebagai bandar warisan mengambil kira nilai sejarah dan keunikan kawasan tersebut.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Shahman Jalaludin ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis (MPS Bil.8/2026 di Bangunan MPS, Selayang pada 24 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Yang Dipertuanya Shahman Jalaludin memberitahu kerja pemeliharaan boleh dijalankan melalui pelan penyegaran menyeluruh dan memenuhi kriteria membabitkan Jabatan Warisan Negara.

“Memang kita sentiasa menyokong proses itu. Cuma proses ini melibatkan Jabatan Warisan dan ada beberapa kriteria yang perlu kita patuhi sebelum kita boleh menjadi bandar warisan.

“Kita memang dalam proses untuk rejuvenasi pekan lama Rawang dan menjadi satu bandar warisan itu antara projek yang akan kita usahakan,” katanya.

Fakta Rawang. GRAFIK AZWA MALEK

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.