
SHAH ALAM, 7 SEPT: Pemanah para Selangor Muhammad Aizat Zaini menghadiahkan pingat emas buat negeri selepas mengungguli pusingan kelayakan compound individu lelaki, sekali gus memperbaharui dua rekod dalam saingan hari ini.
Atlet berusia 34 tahun itu mencatat keseluruhan 695 mata bagi 72 anak panah selepas mengumpul 354 mata pada pusingan pertama dan 341 mata pada pusingan kedua, masing-masing pada jarak 50 meter.
Catatan 695 mata itu mengatasi rekod kebangsaan 72 anak panah terdahulu sebanyak 694 mata milik pemanah Kedah, Daneshen Govinda Rajan yang dilakukan ketika Para SUKMA 2022 di Kuala Lumpur.
Muhammad Aizat turut mencipta rekod baharu Para SUKMA bagi 36 anak panah menerusi catatan 354 mata pada pusingan pertama, mengatasi rekod terdahulu 351 mata yang turut dipegang Daneshen pada edisi sama.
Kecemerlangan itu menyaksikan Muhammad Aizat mengatasi pencabar dari Perak, Mohamad Saiful Abdul Manan yang menduduki tempat kedua dengan 666 mata, manakala pemanah Sabah Mohd Fakrul Azam Roslen ketiga dengan 662 mata.

"Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan prestasi hari ini. Dalam masa sama, saya berjaya memecahkan rekod kebangsaan.
"Saya sangat seronok dan bangga. Saingan negeri lain juga semakin meningkat dan saya sendiri rasa tercabar, tetapi saya cuba kekal tenang dan fokus," katanya selepas menamatkan saingan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Selangor (KOMBES) di sini hari ini.
Muhammad Aizat berkata ketenangan, fokus serta sentiasa mengingati pesanan jurulatih menjadi antara kunci kejayaannya ketika beraksi.
"Kita kena kekal tenang, fokus dan ingat apa yang jurulatih pesan. Paling penting kita nikmati pertandingan dan jangan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri," ujarnya.
Beliau turut menyifatkan sokongan rakan sepasukan, jurulatih dan keluarga sebagai pembakar semangat untuk terus meningkatkan prestasi, lebih-lebih lagi selepas dikurniakan cahaya mata April lalu.
Edisi kali ini merupakan penampilan ketiganya di Para SUKMA selepas meraih perak acara berpasukan pada penyertaan sulung di Kuala Lumpur, sebelum membawa pulang dua emas dan satu gangsa pada edisi Sarawak.
Muhammad Aizat bakal meneruskan cabaran dalam pusingan Olimpik, acara berpasukan serta berpasukan campuran.
Sementara itu, Jurulatih Memanah Para Selangor Muhammad Hazwan Abdul Hamid menyifatkan prestasi anak buahnya memberangsangkan meskipun berdepan beberapa cabaran termasuk faktor kesihatan menjelang kejohanan.
"Alhamdulillah, semalam kita dapat emas dan hari ini kita dapat emas lagi. Prestasi atlet sangat memberangsangkan dan Muhammad Aizat turut berjaya memecahkan rekod.
"Prestasi mereka semakin meningkat dari hari ke hari. Walaupun ada kurang sihat, mereka masih mampu mengekalkan prestasi dan disiplin masing-masing," katanya.
Beliau berkata skuad Selangor masih mempunyai sasaran dalam acara individu dan berpasukan, dengan setiap atlet diharap dapat mengekalkan momentum serta memberikan aksi terbaik dalam saingan seterusnya.










