KOTA BHARU, 19 NOV: Seorang remaja lelaki berumur 13 tahun dikhuatiri lemas ketika dipercayai mencari siput lala di Sungai Pulau Belacan berhampiran Madrasah Daraniah, Kampung Pulau Belacan di sini petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Azim Danial Abdul Hadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa Mohd Faizol Hisam Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.41 petang sebelum jentera tiba di lokasi sembilan minit kemudian.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.
“Sebanyak lapan anggota bomba dari BBP Pengkalan Chepa digerakkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender, sebuah Emergency Medical Rescue Services dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Pasukan turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air dalam usaha mengesan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Faizol Hisam berkata operasi SAR diteruskan meskipun keadaan semakin gelap manakala keadaan air di kawasan sungai berkenaan dilaporkan tenang.
-- BERNAMA
TAG: bomba, SAR, remaja, lemas, siput lala






