SHAH ALAM, 20 NOV: Selangor komited menjadi hab pendidikan dan inovasi rel nasional, selaras usaha membangunkan sistem pengangkutan awam efisien, hijau dan bersepadu di bawah agenda Selangor Maju Jaya (SMJ).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif seperti Bas Smart Selangor, pembangunan berorientasikan transit (TOD) serta projek rel utama seperti LRT3 dan ECRL antara langkah mewujudkan negeri yang berdaya saing, inklusif dan mesra alam.
“Sektor rel adalah tulang belakang ekonomi negeri dan negara. Projek seperti ECRL, RTS Link Johor–Singapura, LRT3, dan KTM Komuter Lembah Klang dijangka memberi limpahan ekonomi bernilai berbilion ringgit.
“Selangor komited memastikan pembangunan ini disertai penyediaan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi, di mana peranan Metro System Academy (MSA) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) amat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan School TrackRail Adventure: Selangor – We Are Champion (STARS) dan Annual Railway Summit, Conference and Innovation Competition (ARSCIC 2025) di Pusat LAtihan MSA UTHM, Sungai Buloh, hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata program STARS dan ARSCIC 2025 permulaan untuk membangunkan bakat muda, memupuk budaya penyelidikan, dan menghubungkan akademia dengan industri strategik dalam bidang rel dan mobiliti mampan.
“Program STARS memperkenalkan pelajar sekolah menengah kepada dunia rel, menanam minat, disiplin dan semangat kejuruteraan, yang merupakan pelaburan jangka panjang untuk tenaga pakar tempatan.
“ARSCIC 2025 pula berjaya menghimpunkan kerajaan, universiti dan industri, menjadi platform pertukaran ilmu dan pemangkin inovasi bagi menangani cabaran mobiliti moden, termasuk isu pelepasan karbon, integrasi sistem pengangkutan, dan pembangunan bandar pintar.
“Kolaborasi tiga penjuru ini mampu memberikan impak nasional yang signifikan,” katanya.
Beliau juga menyambut baik cadangan untuk memperluas aktiviti pendidikan rel ke peringkat sekolah dan komuniti bagi membangunkan modul pendidikan berteraskan kemahiran abad ke-21.
“Pelajar, penyelidik dan pemain industri diseru terus menyemarakkan semangat inovasi dan kolaborasi, sejajar transformasi Malaysia ke arah ekonomi hijau dan digital,” katanya.





