KUALA LANGAT, 29 SEPT: Selangor bakal menjadi negeri pertama melaksanakan Undang-Undang Kecil (UUK) berkaitan penggunaan plastik sekali guna, dengan tumpuan ke arah penguatkuasaan lebih tegas.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata draf UUK itu sedang dimuktamadkan di Pejabat Penasihat Undang-Undang (PUU) negeri dan dijangka mengambil sedikit masa sebelum pengumuman lanjut dibuat kepada umum.
"UKK ini tidak ada di mana-mana negeri lain. Selangor akan jadi negeri pertama yang melaksankannya sekiranya UKK ini diluluskan.
“Jadi nanti saya akan bertemu dengan PUU untuk melihat apakah masih ada isu dan sebagainya. Kita hanya sedikit lama di bahagian UKK setakat ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Projek Solar Panel Tempat Letak Kereta di Renesas Semiconductor KL Sdn Bhd Zon Perindustrian Bebas Telok Panglima Garang di sini, hari ini.
Jamaliah menambah, pelaksanaan undang-undang baharu itu akan menumpukan kepada usaha penguatkuasaan bagi memastikan caj beg plastik 20 sen yang ditetapkan dilaksanakan di semua premis jualan.
Jelas Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama itu, ketika ini Kerajaan Negeri belum membuat ketetapan untuk menaikkan kadar caj 20 sen, yang dikuatkuasa melalui Program Kutipan Caj Beg Plastik bermula 1 Januari 2020 lalu.
“Kita masih belum umumkan akan ada kenaikan, tetapi apa yang penting adalah kita mahu pastikan nilai 20 sen itu wajib dikutip.
“Sekiranya ada pihak yang tidak bayar caj tersebut, selepas ini kita akan ada undang-undang untuk pastikan tindakan susulan dapat diambil. Kita akan ada penguatkuasaan yang lebih tegas yang mungkin berkait dengan permit dan lesen,” katanya.
Mac lalu, Jamaliah dilapor berkata caj beg plastik di Selangor berkemungkinan dinaikkan daripada kadar semasa 20 sen selepas pelaksanaan pelan tindakan pengurangan plastik sekali guna dimuktamadkan.
Bagaimanapun, katanya, kadar caj baharu yang bakal diputuskan perlu realistik dan praktikal untuk warga di negeri ini.








