Oleh AIDA NYAN
KLANG, 6 Julai: Larangan penggunaan plastik di Selangor tidak akan dilaksanakan serta-merta, sebaliknya dilakukan secara berperingkat sehingga 2030.
Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata meskipun perancangan asal menyasarkan tempoh sehingga 2030, pihaknya yakin ia dapat dicapai lebih awal iaitu 2028 atau 2029.
"Kita akan perketat dan tambahkan lagi inisiatif agar masyarakat sendiri menolak penggunaan plastik.
"Cita-cita asal 2025, tetapi terganggu sebab pandemik dan kita perlu susun balik strategi," katanya selepas merasmikan Kempen Bebas Plastik Siri 2 2025 di Laman Seni Safari, di sini, hari ini.
[caption id="attachment_708971" align="aligncenter" width="1107"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perasmian Kempen Bebas Plastik Klang di Laman Seni Safari Klang pada 6 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Jelas Amirudin, larangan penggunaan plastik dijangka bermula sama ada tahun ini atau tahun hadapan, namun ia memerlukan kajian menyeluruh terhadap undang-undang dan mekanisme pelaksanaan.
“Kita sedang mempertimbangkan perkara ini dan akan kaji undang-undang secara menyeluruh. Apa yang telah kita lakukan ternyata ada kesannya,” ujarnya.
Amirudin turut menyatakan perubahan budaya kini semakin ketara dengan masyarakat membawa bekas makanan sendiri ke sekolah dan tempat kerja hasil program kesedaran yang dilaksanakan.
"Budaya yang baik ini perlu diperluas secara berhati-hati. Kita akan intensifikasi melalui undang-undang dan peraturan seperti polisi ‘zero discharge’," katanya.
[caption id="attachment_708972" align="aligncenter" width="1128"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan plak Kempen Bebas Plastik Klang kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang Dato’ Abd Hamid Hussain (kanan) di Laman Seni Safari Klang pada 6 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Bagi memperkukuh langkah itu Kerajaan Negeri turut membentuk rangka undang-undang kecil melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti mewajibkan sambutan Hari Tanpa Plastik.
"Kita akan umum pada Oktober. Kita akan rangkumkan pengalaman semua PBT sebab mereka ada peraturan masing-masing. Bengkel bersama semua PBT pun sedang dilaksanakan," jelasnya.
Mengulas mengenai ekonomi kitaran, Amirudin berkata inisiatif seperti pengurusan sisa elektronik (e-waste) dan Selkitar telah dimulakan secara rintis.
"Isunya adalah bagaimana keseluruhan ekosistem itu ditubuhkan, proses pelupusan dan kos pembuatannya. Mungkin kita boleh buat seperti Sejati MADANI tetapi dalam bentuk penjagaan alam sekitar," katanya.
Tambah beliau, kawasan bandar seperti Petaling Jaya, Subang, Shah Alam dan Lembah Klang Raya akan dijadikan lokasi projek rintis disebabkan gaya hidup penduduk di situ.
[caption id="attachment_708973" align="aligncenter" width="1257"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat pengunjung cilik bermain dam haji ketika Majlis Perasmian Kempen Bebas Plastik Klang di Laman Seni Safari Klang pada 6 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_708970" align="aligncenter" width="1238"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama orang ramai ketika Majlis Perasmian Kempen Bebas Plastik Klang di Laman Seni Safari Klang pada 6 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]