SHAH ALAM, 29 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meneliti aspek keselamatan laluan basikal di Persiaran Dato' Menteri, Seksyen 14, susulan kejadian seorang penunggang motosikal terjatuh ketika melalui kawasan berkenaan.
MBSA dalam kenyataannya memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum akan kejadian tersebut dan segera meneliti faktor yang mempengaruhi kejadian berkenaan serta keselamatan pengguna di lokasi tersebut.
Menurut MBSA, penelitian akan meliputi aspek penyelenggaraan laluan serta interaksi antara laluan basikal dengan pengguna jalan raya lain.
"Susulan kejadian tersebut, MBSA mengambil langkah segera untuk meneliti faktor-faktor yang berpotensi menjejaskan keselamatan di lokasi berkenaan," kata MBSA menerusi kenyataan media.
MBSA turut memaklumkan laluan basikal berkenaan merupakan kesinambungan daripada laluan basikal sedia ada di Pusat Bandar Shah Alam, yang disediakan oleh Prasarana Malaysia Berhad ketika pelaksanaan projek pembinaan LRT3.
Penyediaan laluan tersebut merupakan usaha bagi memperkukuhkan kemudahan mobiliti aktif selain meningkatkan keterhubungan antara kawasan bandar dengan kemudahan pengangkutan awam, khususnuya stesen LRT.
Dalam pada masa sama, MBSA memaklumkan akan mengadakan perbincangan bersama Prasarana bagi mengenalpasti serta menyelaraskan tindakan penambahbaikan yang bersesuaian.
"Langkah berkenaan dijangka dapat membolehkan tindakan sewajarnya dilaksanakan dengan segera bagi memastikan keselamatan pengguna pada laluan berkenaan," tambah MBSA.







