SHAH ALAM, 29 SEPT: Tiga restoran di Taman Klang Utama diarah tutup selama 14 hari selepas pemeriksaan menemukan najis lipas, lalat dan tikus di ruang dapur serta kawasan penyimpanan makanan.
Operasi bersepadu itu melibatkan Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Jabatan Penguatkuasa MBDK dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang.
Menurut MBDK, ketiga-tiga premis berada pada tahap kebersihan kritikal dan gagal diselenggara dengan baik.
“Pemeriksaan menemukan najis lipas, lalat dan tikus di ruangan dapur serta kawasan penyimpanan makanan.
“Susulan itu, PKD Klang mengeluarkan tiga Notis Arahan Penutupan Premis selama 14 hari bagi membolehkan kerja pembersihan dan pemulihan dijalankan,” katanya menerusi Facebook.
Pemeriksaan turut mendapati terdapat pengendali makanan yang belum mendapatkan suntikan tifoid, selain sebahagiannya tidak menutup kepala ketika mengendalikan makanan dan memakai selipar.
Dalam operasi sama, MBDK mengeluarkan dua kompaun terhadap premis yang meletakkan halangan di kaki lima atau kawasan awam.
MBDK menegaskan aspek kebersihan premis makanan dan keselamatan awam sentiasa diberi perhatian serius.
Pengusaha restoran turut diingatkan supaya memastikan premis sentiasa bersih serta mematuhi syarat ditetapkan bagi melindungi kesihatan pengguna.











