SHAH ALAM, 1 JULAI: Seramai 16 bekas anggota tentera lelaki mula melaporkan diri sebagai warden sepenuh masa di 10 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), kata Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata kumpulan pertama itu menjalani sesi taklimat dan orientasi bersama pengurusan maktab bagi memberi pendedahan berkaitan struktur pentadbiran, peraturan serta peranan dan tanggungjawab sebagai warden.
"Kelmarin, seramai 16 orang warden lelaki bekas tentera telah mula melaporkan diri dan menjalani sesi taklimat serta pengenalan MRSM bersama pihak pengurusan maktab.
"Insya-Allah, 16 lagi warden wanita bekas tentera akan menyusul minggu hadapan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, setiap MRSM yang terlibat diperuntukkan empat warden sepenuh masa, masing-masing dua lelaki dan dua wanita.
Sepuluh MRSM yang terbabit ialah MRSM Besut, Balik Pulau, Muadzam Shah Rompin, Sultan Azlan Shah, Serting, Kubang Pasu, Jeli, Parit, Kuala Berang dan Muar.
Beliau berkata inisiatif itu akan diperluaskan ke semua 58 MRSM di seluruh negara bermula 1 Januari 2027.
"Diharapkan mereka dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi serta membantu pihak maktab dalam memastikan kebajikan, keselamatan dan disiplin pelajar sentiasa terpelihara.
"Moga-moga hasrat kita untuk menyaksikan MRSM bebas dan sifar buli akan menjadi kenyataan," katanya.






