Pemimpin negeri zahir takziah, kenang jasa Tun Dr Siti Hasmah

28 Sep 2026, 9:31 AM
Pemimpin negeri zahir takziah, kenang jasa Tun Dr Siti Hasmah

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Media sosial hari ini dibanjiri dengan ucapan takziah atas pemergian seorang tokoh wanita hebat negara Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Menteri Besar serta Ketua Menteri turut menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga atas kehilangan isteri serta ibu tercinta, Dr Siti Hasmah.

Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini, pada usia 100 tahun.

Di SELANGOR, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menerusi hantaran di Facebook rasminya, mendoakan agar roh allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Allahyarham merupakan anak kelahiran Selangor, dilahirkan di Kampung Jawa, Klang pada 1926. Allahyarham merupakan antara doktor perubatan wanita pertama di Malaysia, yang telah banyak menabur jasa kepada rakyat,” katanya.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat negara, kerana beliau bukan sekadar dikenang sebagai isteri kepada seorang negarawan, tetapi juga tokoh wanita dan doktor perubatan yang berbakti sepanjang hayat dalam bidang kesihatan awam, kebajikan ibu dan anak, pembangunan wanita serta kerja kemasyarakatan.

“Sebagai antara wanita Melayu terawal yang menceburi bidang perubatan, perjalanan hidup Allahyarham menjadi bukti bahawa ilmu yang disertai keikhlasan dan pengabdian mampu meninggalkan jejak yang panjang dalam kehidupan manusia.

“Jasa dan kelembutan budi beliau akan terus dikenang oleh rakyat Malaysia, khususnya generasi wanita yang menjadikan perjuangan beliau sebagai sumber inspirasi,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Di KEDAH, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mewakili kerajaan negeri dan seluruh rakyat merakamkan ucapan takziah, serta menyifatkan Allahyarham sebagai insan yang begitu besar jasanya kepada negara dan rakyat.

Beliau berkata Dr Siti Hasmah mempunyai hubungan yang begitu dekat dengan Kedah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan dan penjawat awam, khususnya dalam usaha mempertingkat kesihatan ibu dan anak serta kesejahteraan masyarakat luar bandar.

“Jasa dan sumbangan Allahyarham kepada rakyat Kedah bukan sekadar tercatat dalam sejarah perkhidmatan kesihatan negeri, malah terpahat dalam ingatan masyarakat yang pernah menerima khidmat dan bakti beliau.

“Pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada negara dan semoga segala ilmu, budi, bakti dan jasa yang dicurahkan sepanjang hayat Allahyarham menjadi amal jariah yang berpanjangan dan diberikan ganjaran dengan sebaik-baik ganjaran oleh Allah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.