JOHOR BAHRU, 28 SEPT: Seorang lelaki dipercayai warga asing memandu secara berbahaya sebelum merempuh meja dan kerusi sebuah warung bubur di Taman Sentosa, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, lelaki berkenaan turut didakwa menghayunkan batang paip besi ke arah seorang lelaki yang sedang makan di warung terbabit.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang bekerja sebagai juruteknik, pada jam 2.27 pagi.
Menurutnya, berdasarkan laporan, mangsa dihampiri suspek yang tiba menaiki sebuah kereta.
"Suspek kemudian menghayunkan paip besi ke arah pengadu, namun sempat dielak.
"Suspek yang dipercayai dalam keadaan mabuk kemudian masuk semula ke dalam kereta selepas melihat orang ramai datang untuk meleraikan keadaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrul Hisham berkata, suspek kemudian memandu secara melulu sebelum merempuh meja dan kerusi di warung bubur berkenaan.
"Suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri dari lokasi kejadian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 324/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan," katanya.
Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan.
Katanya, maklumat boleh disalurkan kepada Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.







