SKMM lancar LESTARI 2030 pacu industri komunikasi negara lebih mampan

28 Sep 2026, 12:04 PM
SKMM lancar LESTARI 2030 pacu industri komunikasi negara lebih mampan

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka peluang kepada semua pemain industri untuk berkongsi idea atau bekerjasama bagi merealisasikan LESTARI: Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pelan LESTARI merupakan satu inisiatif bagi menggerakkan tindakan yang berupaya memberi impak nyata kepada rakyat dan alam sekitar menjelang 2030.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berucap di Majlis Pelancaran Lestari Sustainability Framework dan Roadmap 2030 di Hilton Kuala Lumpur pada 28 September 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Jadi, saya ingin membuka beberapa peluang kepada sektor dan perusahaan terlibat, jika anda mempunyai saranan yang ingin kami capai atau membantu mempercepat transisi mengikut Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), mari kita bekerja bersama.

“Mari kita bekerja untuk bumi ini kerana ia milik kita. Kita perlu memastikan, untuk kita berkembang sebagai negara, kita juga perlu menjaga bumi dan juga menjaga antara satu sama lain,” katanya berucap.

Terdahulu, beliau menyempurnakan pelancaran LESTARI: Rangka Kerja dan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2030 (Sustainability Framework and Roadmap 2030 - SFR2030) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurut Fahmi, SKMM menyedari kebimbangan masyarakat khususnya berkaitan penggunaan tenaga dan sumner air dalam pembangunan pusat data yang kini giat berkembang di beberapa tempat di negara ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (tengah) pada Majlis Pelancaran Lestari Sustainability Framework dan Roadmap 2030 di Hilton Kuala Lumpur pada 28 September 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Malah, katanya, menara telekomunikasi yang dibangunkan di kawasan pedalaman turut menggunakan alat penjana kuasa (genset) dengan penggunaan diesel yang amat tinggi.

“Kita mungkin ada dalam 60,000 menara di seluruh negara. Bolehkah anda bayangkan jumlah penggunaan tenaga untuk memastikan 60,000 telekomunikasi ini tetap aktif?

“Jadi kita semua harus fikirkan bersama bagaimana kita boleh susun atur kerangka dan memberikan inisiatif supaya kawal selia ini boleh berkembang dengan baik,” katanya.

Dibangunkan bersama industri melalui sesi libat urus melibatkan 116 peserta daripada 47 organisasi, LESTARI menyediakan hala tuju bersama bagi menggerakkan agenda kelestarian secara lebih tersusun dan bersepadu berlandaskan tiga teras utama.

Tiga teras itu adalah kelestarian iklim dan alam sekitar; impak sosial dan keterangkuman, serta teknologi dan inovasi.

Menjelang 2030, LESTARI menyasarkan 15 juta peranti diurus secara lestari melalui penggunaan semula, naik taraf atau penggantian kepada teknologi yang lebih cekap, serta kitar semula secara bertanggungjawab.

Selain manfaat kepada alam sekitar melalui pengurangan e-sisa dan penggunaan sumber yang lebih cekap, inisiatif ini juga dijangka memberi manfaat kepada 5 juta rakyat menerusi pelbagai program impak sosial yang dilaksanakan oleh SKMM bersama pemain industri.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.