Kontraktor diarah tutup laluan, bina perparitan elak banjir Seri Kerayong

27 Sep 2026, 10:00 AM
Kontraktor diarah tutup laluan, bina perparitan elak banjir Seri Kerayong
Kontraktor diarah tutup laluan, bina perparitan elak banjir Seri Kerayong

SHAH ALAM, 27 SEPT: Kontraktor projek pembinaan lot rumah kedai di Kapar Industrial Park diarah menutup tiga laluan ke tapak serta membina sistem perparitan sempurna bagi mengelak limpahan air ke Taman Seri Kerayong yang menjejaskan kira-kira 20 rumah di Lorong 6, semalam.

Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Zon N43A, Aziz Khan Muhammed Ali berkata, arahan itu dibuat bagi mengelakkan kejadian sama berulang, selain memastikan kontraktor menyediakan sistem perparitan sendiri dalam tapak projek tanpa menjejaskan sistem perparitan sedia ada.

“Semalam saya sudah bagi peringatan keras pada kontraktor, saya cakap lepas ini saya memang tak nak ada isu pasal banjir lagi. Mereka ambil maklum dan buat serta-merta tutup jalan itu dan sudah buat satu ban, guna tanah merah.

“Saya juga pesan sampai projek ini habis, jangan buka jalan dan ban selain buat sistem perparitan sendiri dan pantau keadaan. Memang limpahan semalam dari tapak projek ada bukti video.

“Senarai pada saya kira-kira 20 rumah ini air memang melimpah dari depan iaitu memang dari tapak projek ini,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, pihak Jabatan Kejuruteraan MBDK juga telah mengambil maklum mengenai kejadian berkenaan dan difahamkan akan memanggil kontraktor untuk mendapatkan penjelasan.

“MBDK sudah ambil maklum, dia tahu. Keadaan di kawasan berkenaan juga terkawal selepas tindakan segera diambil dan tiada laporan banjir diterima susulan hujan pagi tadi (hari ini).

“Tahun ini saja kawasan ini sudah banjir tiga kali. Tapi sebelum ini di jalan masuk utama. Bukan disebabkan kes ini, tapi kita tidak mahulah penduduk kena hadap banjir saja. Ada yang naik air dari belakang rumah jadi itu perparitan lain pula.

“Semalam saya ada jumpa Tok Penghulu Mukim Kapar, katanya Pejabat Tanah boleh bagi setahun sekali saja dapat pampasan kalau banjir. Jadi kalau berkali-kali berlaku macam ini, penduduklah susah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seri Kerayong Salim Yasri Imran berkata penduduk mengharapkan kontraktor membina sistem perparitan sempurna bagi memastikan banjir tidak berulang di kawasan itu.

Jelasnya, penduduk terjejas mengadu mengalami kerosakan perabot, perkakasan rumah dan barangan perniagaan akibat ditenggelami air susulan beberapa kejadian banjir.

“Semalam, setakat 7.30 malam air sudah surut dan setakat hujan pagi ini air tiada naik. Kalau dalam senarai saya ada 50 rumah terjejas.

“Ada yang air naik dari belakang ada juga yang sebab projek semalam melimpah dari depan. Sebab perparitan di Taman Seri Kerayong ini juga sedang dibuat. Jadi kita tidak mahulah projek ini jadi penyumbang terbaru banjir pula,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial kejadian banjir yang menjejaskan rumah penduduk di Taman Seri Kerayong sehingga menyebabkan kerosakan dan kerugian harta benda akibat ditenggelami air didakwa susulan limpahan dari tapak projek berkenaan.

Penduduk turut mendakwa pertemuan dengan MBDK dan pihak berkaitan sudah diadakan selepas kejadian banjir sebelum ini, namun mereka sekali lagi terpaksa berdepan masalah sama apabila banjir kembali berlaku.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.