SHAH ALAM, 12 NOV: Kerja pengorekan dan pembersihan parit dicadangkan bagi mengurangkan risiko banjir kilat di kawasan Jambatan Rimbayu-Seri Cheeding susulan aduan penduduk setempat dan pengguna jalan raya.
Langkah itu dikenal pasti menerusi lawatan tapak oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Seri Cheeding bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Seri Cheeding, semalam.
Lawatan itu turut disertai wakil Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi meninjau keadaan saliran dan mengenal pasti langkah mengatasi masalah berkenaan.
“Hasil tinjauan ini, antara usaha yang dicadangkan ialah kerja pengorekan dan pembersihan parit bagi membantu melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko kejadian banjir berulang,” menurut kenyataan JPKKP Kampung Seri Cheeding menerusi Facebook.
Sehubungan itu, pemilik tanah berhampiran lokasi terjejas diminta menghubungi pihak JPKKP atau JPKK bagi membincangkan pelaksanaan kerja berkenaan serta mendapatkan kebenaran untuk menjalankan pengorekan parit di tanah masing-masing.
Menurut JPKKP, kerjasama pemilik tanah, penduduk dan agensi kerajaan penting bagi memastikan kerja penyelesaian dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.
Usaha itu diharap dapat mengurangkan risiko banjir sekali gus meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk Kampung Seri Cheeding serta pengguna jalan raya.
Semalam, laluan berhampiran jambatan yang menghubungkan Seri Cheeding dengan Rimbayu mengalami kesesakan lalu lintas akibat banjir kilat susulan hujan lebat dan limpahan air parit.







