SHAH ALAM, 12 NOV: Pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya Setia di Mukim Bestari Jaya, Kuala Selangor ditutup secara rasmi mulai jam 1 tengah hari ini.
Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) mengisytiharkan penutupan pusat berkenaan menerusi satu kenyataan hari ini.
PPS berkenaan sebelum ini dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat banjir susulan hujan lebat melanda beberapa kawasan di Kuala Selangor.
Berdasarkan laporan terdahulu, SK Jaya Setia merupakan antara empat PPS yang beroperasi di Kuala Selangor pada 5 November lalu.
Pada 7 November, seramai 77 mangsa daripada 26 keluarga direkodkan berlindung di pusat berkenaan sebelum jumlahnya berkurangan kepada 13 mangsa daripada lima keluarga pada 10 November.








