Banjir kilat: Laluan NKVE Shah Alam-Setia Alam ditutup sementara

2 Nov 2026, 3:28 PM
Banjir kilat: Laluan NKVE Shah Alam-Setia Alam ditutup sementara

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Kedua-dua laluan di KM 9.1 hingga KM 9.4 antara Setia Alam-Shah Alam Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) ditutup sementara untuk semua kenderaan berikutan tidak boleh dilalui akibat banjir kilat selepas hujan lebat pada 6.20 petang tadi.

PLUS Malaysia Berhad memaklumkan sebagai langkah keselamatan segera, kenderaan dari arah Subang menghala ke selatan dilencong keluar dari NKVE melalui Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite).

"Sementara itu, kenderaan dari arah Bukit Raja yang menghala ke utara pula dilencongkan keluar dari NKVE di Persimpangan Bertingkat Setia Alam," menurut kenyataan itu.

Pengguna lebuh raya dinasihat merujuk saluran komunikasi rasmi PLUS, iaitu X @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, Papan Tanda Mesej Elektronik (VMS), pembantu maya PLUS (PUTRI) dan platform media sosial rasmi PLUS untuk maklumat terkini berkenaan cuaca serta keadaan banjir selain laluan alternatif.

Pengguna lebuh raya turut dinasihatkan agar tidak meredah banjir kerana air yang kelihatan cetek juga boleh menyebabkan enjin kenderaan mati atau mengakibatkan kenderaan dihanyutkan arus.

"Sila patuhi semua papan tanda sementara dan arahan yang diberikan oleh petugas kami di lokasi," menurut PLUS.

Bagi mendapatkan bantuan segera, pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di talian 1-800-88-0000 menggunakan butang SOS menerusi Aplikasi PLUS atau berinteraksi dengan PUTRI.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.