BUKIT MERTAJAM, 25 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan atas kasih sayang, jasa dan budi yang dicurahkan abangnya Allahyarham Idrus Ibrahim kepada keluarga sepanjang hayatnya.
Anwar berkata kepulangan beliau ke Cherok Tok Kun hari ini diselubungi rasa sayu dan hiba, bagi bersama-sama seluruh ahli keluarga mengiringi serta menitipkan salam terakhir buat Allahyarham.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung, tokoh masyarakat serta rakan-rakan yang hadir dan membantu keluarganya sepanjang urusan pengurusan jenazah Allahyarham.
“Insya-Allah, kami akan terus melangkah, menguatkan hati meneruskan saki-baki kehidupan, meski kehilangan ini meninggalkan ruang yang tidak mungkin terisi.
“Terima kasih kepada semua orang kampung Cheruk Tok Kun dan rakan-rakan yang datang dan bantu. Terima kasih banyak,” kata beliau selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Cheruk Tok Kun Bawah di sini hari ini.
Jenazah Allahyarham Idrus dikebumikan pada 2.50 petang selepas solat Jumaat dan solat jenazah di Dewan Solat Sementara Masjid Jamek Cheruk Tok Kun Bawah.
Terdahulu, Perdana Menteri bersama-sama ahli keluarga dan orang ramai mengiringi jenazah dengan berjalan kaki kira-kira 200 meter dari kediaman Allahyarham.
Idrus, 83, meninggal dunia ketika tidur di kediamannya pada 6.10 petang semalam.
Allahyarham yang merupakan anak kedua daripada lapan adik-beradik, meninggalkan seorang isteri, empat anak dan 10 cucu.
Allahyarham merupakan bekas guru dan pernah berkhidmat sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Bertam, Kepala Batas dan SK Stowell, Bukit Mertajam.
Selepas pengebumian itu, Perdana Menteri dijadual menghadiri Program Usahawan Bangkit MADANI di Dewan Kompleks Persekutuan Muadzam Shah, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Alor Setar petang ini.








