SHAH ALAM, 25 SEPT: Jenazah abang kandung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Idrus Ibrahim, 83, dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cherok Tokun Bawah, Permatang Pauh selepas solat Jumaat hari ini.
Allahyarham meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Jalan Kilang Ubi, Cherok Tokun kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Anak keduanya, Aida Rafizah, 54, berkata pemergian bapanya mengejutkan keluarga kerana Allahyarham masih mampu menguruskan diri meskipun pernah mengalami serangan jantung tahun lalu.
Menurutnya, keadaan kesihatan Allahyarham kembali pulih dan beliau menjalani pemeriksaan rutin mengikut jadual ditetapkan doktor.
Allahyarham sempat menjamah buah kiwi dan kuih tepung bungkus ketika makan tengah hari sebelum berehat selepas menunaikan solat Zuhur.
“Kami betul-betul tidak sangka kerana arwah masih boleh mengurus dirinya sendiri seperti biasa, boleh bangun dan berjalan. Cuma kakinya tidak kuat,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Aida Rafizah berkata bapanya dipercayai sedang bersiap untuk menunaikan solat Asar berdasarkan keadaan kain pelikat yang diletakkan berhampiran sebelum ditemukan meninggal dunia.
Menurutnya, hanya dia dan ibunya, Faridah Hanim Mohd Ghouse, 80, berada di rumah ketika kejadian dan kali terakhir mereka berbual dengan Allahyarham adalah ketika makan tengah hari.
Allahyarham yang juga anak kedua daripada lapan beradik meninggalkan seorang isteri, empat anak dan 10 cucu.
Pegawai Khas Perdana Menteri Zainal Abidin Saad berkata Allahyarham yang juga bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Stowell, Bukit Mertajam dikenali sebagai seorang yang ramah serta rapat dengan komuniti setempat.
Terdahulu, Anwar memaklumkan berita pemergian abangnya menerusi hantaran Facebook ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas menamatkan lawatan kerja tiga hari ke China.
Perdana Menteri turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat berada di sisi Allahyarham pada saat akhir serta memohon orang ramai mendoakan abangnya.







