Israel serang Gaza, empat cedera termasuk kanak-kanak

25 Sep 2026, 10:00 AM
Israel serang Gaza, empat cedera termasuk kanak-kanak

BANDAR GAZA / ISTANBUL, 25 SEPT: Tentera Israel mencederakan empat rakyat Palestin termasuk seorang kanak-kanak perempuan pada Jumaat dalam serangan artileri dan dron yang menyasarkan beberapa kawasan di tengah dan selatan Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Seorang lelaki muda dan seorang kanak-kanak perempuan cedera terkena serpihan peluru artileri yang dilepaskan tentera Israel ke kawasan Batn al-Sameen, selatan Khan Younis, menurut sumber perubatan kepada Anadolu.

Saksi turut memaklumkan tentera Israel melepaskan peluru artileri ke arah kediaman penduduk Palestin dan khemah yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di kawasan itu, manakala kenderaan tentera melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah kawasan di timur dan selatan bandar berkenaan.

Ramai penduduk Gaza kini tinggal di khemah, pusat perlindungan dan bangunan yang rosak selepas perang genosid Israel menyebabkan kira-kira 1.9 juta rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal serta memusnahkan atau merosakkan lebih 371,000 unit kediaman, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), manakala usaha pembinaan semula berskala besar masih terbantut.

Di tengah Gaza, serangan dron Israel mencederakan dua rakyat Palestin, seorang daripadanya parah, selepas menyasarkan khemah yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di bandar Al-Zawaida, menurut sumber perubatan di Hospital Syuhada Al-Aqsa.

Di utara Gaza, sumber tempatan memaklumkan kenderaan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah kawasan di timur kejiranan Shujaiya dan Tuffah di Bandar Gaza, tanpa laporan segera mengenai kecederaan.

Perkembangan itu berlaku ketika tentera Israel terus melanggar perjanjian gencatan senjata Gaza yang berkuat kuasa sejak 10 Okt 2025.

Serangan Israel telah mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 174,000 yang lain di Gaza sejak Oktober 2023, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur di wilayah itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

TAG: Gaza, Israel, artileri, serangan dron, genosid

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.